Keputusan tepat batal bina stesen ECRL Gombak

Muhammad Hilman Idham
Muhammad Hilman Idham
A
A
A

GOMBAK - Tindakan kerajaan tidak membina stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Gombak merupakan satu keputusan yang tepat dalam usaha untuk mempertahankan kampung-kampung tradisi di kawasan ini.

ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, sebelum PRU14 lalu, pembinaan ECRL telah menjadi isu panas yang dibangkitkan oleh penduduk di kawasan terlibat berikutan jajaran rel tersebut dilihat akan menganggu ekosistem alam serta kampung-kampung tradisi Melayu di sini.

Disebabkan itu, beliau berkata, pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan bagi membatalkan pembinaan stesen ECRL di Gombak yang dilihat dapat memberi banyak manfaat khususnya buat masyarakat setempat.

"Walaupun stesen itu namanya Gombak namun ia terletak di Wangsa Maju.

"Dan saya tetap komited dengan janji saya sebelum ini bahawa sebarang pembangunan yang akan dilaksanakan di kawasan ini akan dipastikan tidak menganggu ekosistem dan kampung tradisi di DUN ini," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Hilman yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Ekonomi memaklumkan bahawa selain melalui beberapa buah kampung, perancangan pembinaan jajaran ECRL sebelum ini juga turut melalui kawasan Pematang Kuaza yang digazetkan sebagai kawasan tapak warisan.

Beliau berkata, antara kampung tradisi Melayu yang akan terkesan sekiranya pembinaan stesen itu dilaksanakan di kawasan berkenaan adalah Kampung Sungai Cincin, Kampung Sungai Pusu, Kampung Gombak Utara dan Kampung Orang Asli Batu 12.

"Penduduk di sini memang fobia bila dengar mengenai ECRL, dan bila kerajaan mengumumkan stesen tidak akan dibina disini, ia pastinya satu berita baik buat mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa projek ECRL yang tergantung sejak Julai 2018 lalu akan disambung semula dengan pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion bagi fasa pertama dan kedua.

Selain itu, kenyataan itu juga menyebut pengurangan kos asal dari RM65.5 bilion kepada RM44 bilion berjaya dikurangkan setelah Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) sepakat memeterai satu perjanjian tambahan.

Difahamkan, wakil khas Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin yang mengetuai rundingan dilapor berkata, pembinaan ECRL berkenaan akan menyaksikan jajaran baharu iaitu Kota Bharu - Mentakab - Jelebu - Kuala Kelawang-Bangi/Kajang - Putrajaya dan Pelabuhan Klang.

Malah, jajaran baharu itu turut menyaksikan dua stesen ECRL di Gombak dan Bentong akan dihapuskan selepas ini.