'Rumah sudah siap, simpanlah tukul dan pahat'

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengumuman barisan kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menandakan permulaan kepada kerja keras dan tanggungjawab yang dipikul kerajaan bagi memacu negara ke arah lebih baik.

Bekas pemimpin Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, sudah tiba masanya kerajaan bekerja keras dan memikul tanggungjawab diamanahkan rakyat manakala pembangkang bertindak secara produktif menjadi pembangkang yang baik.

"Rumah sudah siap, simpanlah tukul dan pahat. Bersama kita hiasi negara ini dengan citra perpaduan dan kebersamaan. Sokong mana yang baik dan bangkang mana yang silap serta nasihat mana yang memerlukan penambahbaikan.

"Janganlah bakar jambatan dengan kata-kata dan tindakan yang kurang berhemah. Inilah masanya mengamalkan kembali Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) yang menjadi sebahagian dasar kepada Pas," katanya menerusi kenyataan di laman Facebooknya, pada Sabtu.

Mohd Khairuddin memberitahu, kerajaan negeri yang menjadi pembangkang di peringkat Persekutuan juga masih memerlukan Kerajaan Perpaduan ini.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin turut merakam ucapan tahniah kepada semua menteri yang dilantik menerajui kerajaan.

Menurut beliau, ahli-ahli dari parti kerajaan sama ada PKR, DAP, BN, Amanah, GPS serta GRS juga boleh menjadi penyemak dan pengimbang bagi memastikan kerajaan perpaduan sentiasa berada di landasan yang betul.

"Tahniah kepada jemaah menteri yang dilantik. Di atas bahu mereka terletak tanggungjawab bagi menterjemahkan erti kerajaan perpaduan yang adil untuk semua dan menyatukan semua rakyat berpaksikan Islam, Melayu serta dipayungi Raja-raja Melayu.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai kerajaan, semua menteri perlu bertindak sebagai kerajaan dan bukan sebagai pembangkang. Kerajaan tugasnya membuat kerja membina negara dan menyatukan rakyat bukannya berpolitik untuk kepentingan sendiri atau parti sahaja," ujar beliau.