Kerajaan Perpaduan terus fokus perkasa OKU: Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Seri Anwar Ibrahim.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Perpaduan akan terus memberi fokus kepada usaha pemantapan dan pemerkasaan golongan orang kurang upaya (OKU) melalui kebijaksanaan yang tuntas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun diuji dengan halangan fizikal dan mental, golongan OKU seharusnya diberi peluang menyumbang keringat serta buah fikiran dalam pelbagai lapangan di negara ini.

"Ini terutamanya dalam hal membangun masyarakat dan negara,” kata Anwar dalam catatan di Facebook rasmi beliau.

Sambil mengucapkan Selamat Menyambut Hari OKU yang diraikan hari ini, Perdana Menteri berkata, diskriminasi terhadap golongan itu dalam pelbagai bidang mesti dihentikan, sebaliknya segala upaya mesti dirangkul untuk membela rakyat terutama kumpulan istimewa itu.

Tarikh 3 Disember setiap tahun diiktiraf sebagai sambutan Hari OKU dan tema kali ini adalah ‘Transformasi ke Arah Pembangunan Inklusif: Peranan Inovasi Dalam Memenuhi Aksesibiliti dan Kesaksamaan OKU’.

Semalam, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun mengumumkan senarai 28 Jemaah Menteri yang menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Datuk Seri Nancy Shukri diumum sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang antara peranan kementeriannya adalah bertanggungjawab terhadap hal ehwal OKU. - Bernama

Artikel Berkaitan: