Komposisi kabinet Anwar mengecewakan: Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan barisan kabinet baharu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecewakan kerana turut melantik pemimpin yang mempunyai kes mahkamah.

Beliau berkata, kebanyakan rakyat meluahkan rasa kecewa apabila pemimpin berkenaan masih dilantik memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan.

"Mereka (rakyat) sangat terkejut kerana keadaan sebegini berlaku di saat rakyat Malaysia memerlukan sebuah reform (pembaharuan) politik, reform pentadbiran dan reform kerajaan yang berada pada tahap yang paling baik.

"Tetapi, nampaknya kita ke belakang dengan tengok komposisi kabinet yang ada ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Kesyukuran Sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Kuala Terengganu di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, barisan kabinet baharu itu dipercayai tidak memberi kesan besar terhadap aspek pembangunan dan keperluan rakyat di negeri tersebut.

"Insya-ALLAH, saya percaya tidak ada kesan yang besar kepada kerajaan negeri Terengganu dan kita (kerajaan negeri) akan sentiasa berjuang bersama dengan rakyat.

"Kita mengambil sikap menghormati apa yang telah dinyatakan dalam perlembagaan yang telah membuat pembahagian kuasa di antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Anwar mengumumkan senarai 28 menteri menganggotai kabinet kerajaan pada Jumaat selepas lapan hari mengangkat sumpah.

Pengumuman itu sekali gus menamatkan teka-teki mengenai barisan kepimpinan di bawah pentadbiran beliau.

Dua pemimpin iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mewakili Barisan Nasional (BN) dan Datuk Seri Fadilah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.