Kabinet kerajaan baharu: Pengundi kekal pemerhati kritis

Barisan kabinet baharu harus mempamerkan ketelusan dan pendirian moral yang tinggi dengan menetapkan bahawa mana-mana pihak yang didapati bersalah di mahkamah, harus bertanggungjawab melepaskan jawatan dan tidak tertakluk kepada sebarang rayuan yang dikemukakan. - Gambar hiasan
Barisan kabinet baharu harus mempamerkan ketelusan dan pendirian moral yang tinggi dengan menetapkan bahawa mana-mana pihak yang didapati bersalah di mahkamah, harus bertanggungjawab melepaskan jawatan dan tidak tertakluk kepada sebarang rayuan yang dikemukakan. - Gambar hiasan
A
A
A

1.#RASUAHBUSTERS mengalu-alukan pengumuman barisan kabinet baharu yang kini memegang amanah dan tanggungjawab mengemudi Malaysia untuk menunaikan manifesto yang dijanjikan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

2. Dinamik politik telah menunjukkan lantikan kabinet turut membabitkan individu yang terbabit dengan pertuduhan salah laku rasuah dan ini menimbulkan kecewa dan terkilan sebahagian besar rakyat Malaysia yang mengharapkan kepimpinan Malaysia pasca PRU15 yang bersih daripada sebarang kes mahkamah.

3. Kerajaan campuran yang ditubuhkan dalam situasi ini berdepan risiko ketidakstabilan yang tinggi. Ini mendesak agar tuntutan-tuntutan reformasi perundangan berkaitan kebebasan institusi daripada campur tangan eksekutif, pendanaan politik, reformasi Parlimen, pemisahan peranan Peguam Negara dan pendakwaraya yang disuarakan oleh #RasuahBusters bersama rakan gabungannya perlu dilaksanakan segera.

4. #RasuahBusters turut menegaskan bahawa kestabilan negara akan mampu berfungsi baik dengan kolaboratif kerajaan yang dibentuk bersama rakyat yang terdiri daripada masyarakat sivil, pakar-pakar juga barisan pembangkang yang komited dan efektif untuk mempertingkatkan ketelusan, di samping semak dan imbang dapat berlangsung secara sihat, inklusif dan berakauntabiliti.

5. Barisan kabinet YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus mempamerkan ketelusan dan pendirian moral yang tinggi dengan menetapkan bahawa mana-mana pihak yang didapati bersalah di mahkamah, harus bertanggungjawab melepaskan jawatan dan tidak tertakluk kepada sebarang rayuan yang dikemukakan.

6. Negara ini memerlukan pentadbiran yang berjiwa besar dan kemenangan YB-YB harus terisi dengan manfaat buat rakyat. Selesaikan segala yang tertangguh, ubati yang sakit, perkukuh yang sudah sedia baik. Sejarah lampau senario politik negara adalah ‘cermin pandang belakang’ yang sekali sekala harus dilihat dan diingat agar kemalangan ketika memandu negara ini dapat dielakkan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat yang turun mengundi dengan penuh pengharapan.

7.Cita-cita kerajaan untuk memaju dan memulihkan negara ini akan terus disokong penuh; namun #RasuahBusters dan rakan gabungan, tidak akan ragu-ragu untuk mencabar sebarang keputusan dan tindak-tanduk kerajaan secara konstruktif dan kritis atas dasar keprihatinan rakyat dan pegangan prinsip Rukun Negara.

8. Selamat menjalankan tugas diucapkan kepada barisan Yang Berkhidmat sekalian. Semoga Tuhan sentiasa memberikan pertolongan serta bimbingan-Nya kepada YB-YB untuk membina Malaysia yang lebih baik, berintegriti, bebas rasuah di atas teras #NilaiMoralKarakterBangsa.

Artikel Berkaitan:

#RASUAHBUSTERS