Ewon berbesar hati barisi kabinet Kerajaan Perpaduan

Ewon diumumkan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ketika sidang akhbar Pengumuman Kabinet Kerajaan Perpaduan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Perdana Putra pada Jumaat. - Foto Bernama
Ewon diumumkan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ketika sidang akhbar Pengumuman Kabinet Kerajaan Perpaduan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Perdana Putra pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berbesar hati menjadi sebahagian daripada kabinet Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, mandat tersebut penting bagi pembangunan usahawan dan beliau tidak sabar untuk melaksanakan tugasnya.

Ewon berkata, sebagai seorang daripada dua wakil dari Sabah, beliau akan membangkitkan isu berkaitan negeri itu dan bekerjasama dengan rakan anggota Kabinet bagi mencari penyelesaian kepada isu-isu tersebut terutama hak-hak Sabah.

"Saya juga akan memberi penumpuan kepada kawasan yang diwakili - kawasan Parlimen Penampang dan DUN Kadamaian - yang memerlukan banyak perhatian untuk pembangunan di bawah kerajaan baharu.

"Saya mengucapkan tahniah kepada rakan anggota Kabinet dan marilah bersama-sama membina negara kita,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ewon ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian sejak 2018 dan merupakan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah hingga 2020.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Ewon mewakili Pakatan Harapan memenangi kerusi Parlimen Penampang dengan majoriti 14,410 undi dalam saingan empat penjuru, mengalahkan penyandang Datuk Darell Leiking daripada Parti Warisan. - Bernama

Artikel Berkaitan: