'BN Sabah dipinggirkan dalam kabinet Kerajaan Perpaduan'

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KOTA KINABALU - Barisan Nasional (BN) Sabah berasa terpinggir apabila tiada seorang pun daripada tujuh ahli Parlimennya dilantik sebagai menteri penuh dalam pembentukan kabinet Kerajaan Perpaduan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin juga turut menyifatkan pelantikan dua menteri mewakili Sabah, masing-masing dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) selaku komponen Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah terlalu kecil.

Menurutnya, jumlah itu tidak seimbang berbanding Sarawak yang mendapat lima portfolio termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kedua.

"Pembentukan kabinet baharu Kerajaan Perpaduan persekutuan ini nampaknya menyaksikan Sabah dipinggirkan dalam pelantikan portfolio khususnya wakil daripada BN Sabah yang memberikan komitmen awal bersama BN Pusat untuk menyokong PH menjadi kerajaan dan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

"Tiada seorang pun wakil dari BN Sabah dalam kabinet baharu ini. Berbanding Sarawak, mereka ada lima menteri," katanya dalam kenyataan bagi mengulas mengenai pembentukan kabinet kerajaan pada Sabtu.

Sebelum itu, BN Sabah telah memenangi paling banyak kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan tujuh kerusi, diikuti GRS (enam), PH (lima), Parti Warisan (tiga), Bebas (dua) serta masing-masing satu Perikatan Nasional (PN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Malah, BN Sabah turut menyumbang kerusi kedua terbanyak selepas BN Johor daripada 30 kerusi dimenangi BN di seluruh negara pada PRU15.

Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berharap peminggiran BN Sabah dalam kabinet baharu itu bukan petanda negeri ini terus dipinggirkan daripada perhatian Kerajaan Perpaduan khususnya dalam aspek pembangunan.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak mahu Sabah sekali lagi dipinggirkan dalam aspek pembangunan terutama pelaksanaan projek infrastruktur yang penting untuk kemudahan rakyat negeri ini.

"Projek lebuh raya Pan Borneo Sabah seumpamanya mesti diteruskan dan dipercepatkan. Kita tidak mahu melihat projek ini sekali lagi tergendala seperti yang berlaku ketika PH menjadi kerajaan pada 2018," katanya.

Malah katanya, Sabah juga memerlukan perhatian kerajaan Persekutuan dalam menyelesaikan isu bekalan air bersih yang menjejaskan rakyat di seluruh negeri ini, selain isu bekalan elektrik dan jalan luar bandar yang masih belum menyeluruh.

Anwar pada Jumaat mengumumkan barisan kabinetnya terdiri daripada 28 menteri termasuk dua TPM yang masing-masing disandang Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mewakili BN dan Ahli Parlimen Petra Jaya yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof mewakili GPS.