PRU15: BN beri laluan kepada calon PH di Padang Serai

Jamil Khir (dua dari kanan) ketika hadir pada majlis pengumuman khas Pakatan Harapan yang diadakan di Taman Desa Aman, Padang Meiha, Padang Serai pada Jumaat.
Jamil Khir (dua dari kanan) ketika hadir pada majlis pengumuman khas Pakatan Harapan yang diadakan di Taman Desa Aman, Padang Meiha, Padang Serai pada Jumaat.
A
A
A

PADANG SERAI - [DIKEMAS KINI] Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Padang Serai, Datuk C Sivaraj akhirnya beralah kepada calon Pakatan Harapan (PH), Dr Mohamad Sofee Razak bagi menghadapi saingan lain dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam ceramah pengumuman khas yang diadakan di Taman Desa Aman, Padang Meiha di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, keputusan itu dibuat sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan antara BN dan PH di peringkat nasional.

"Dengan persahabatan baharu di peringkat Persekutuan, gabungan Perpaduan ini akan menyokong calon PH memenangi kerusi Padang Serai pada 7 Disember nanti," katanya ketika berucap pada majlis pengumuman khas PH yang diadakan di Taman Desa Aman, Padang Meiha, di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Sivaraj menegaskan tidak akan menyerahkan kerusi tersebut kepada PH dan terus berkempen kerana tidak menerima sebarang arahan daripada pimpinan BN bagi memberi laluan kepada pencabar lain.

Sementara itu, Mohamad Sofee yang juga Setiausaha PKR Kedah dan Setiausaha PH Kedah sebelum ini menyarankan agar BN berkompromi untuk mereka berdepan secara satu lawan satu dengan PN di Padang Serai.

Menurutnya, kemenangan di Padang Serai yang tertangguh akan menjadi hadiah bermakna untuk diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH selepas berjaya menubuhkan kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, teladan yang ditunjukkan calon PH bagi kerusi DUN Tioman di Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly yang memberi laluan kepada calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, dilihat harmoni selain membuktikan gabungan Kerajaan Perpaduan boleh dicapai sekiranya semua pihak berjiwa besar dan berlapang dada menerima sebarang perubahan.

Artikel Berkaitan:

Selain Sivaraj dan Mohamad Sofee, Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru termasuk calon dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin, Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).

Bagaimanapun, calon Warisan turut menarik diri lebih awal dan menyatakan sokongan kepada calon PH.

PRU15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditangguhkan selepas calon PH yang juga penyandang, M Karupaiya meninggal dunia pada 16 November lalu, dua hari selepas dimasukkan ke Hospital Kulim akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Disember sebagai tarikh pengundian dan pengundian awal pada esok.