Fadzli, Nizar tekad galas amanah sebaik mungkin

Mohd Nizar & Fadzli
Mohd Nizar & Fadzli
A
A
A

KUANTAN - Dua muka baharu dalam kalangan pemuda yang dilantik sebagai Exco Kerajaan Pahang menghargai kepercayaan diberikan dan bertekad akan menggalas amanah itu sebaik mungkin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Fadzli Mohamad Kamal, 42, berkata, sebagai exco paling muda, banyak perkara perlu dipelajari dalam menggalas amanah yang diberikan itu.

Menurutnya, tanggungjawab itu akan dilaksanakan sebaik mungkin dan bersedia untuk memberi khidmat kepada kerajaan negeri dan rakyat Pahang.

"Saya tidak sangka dilantik dalam barisan exco baharu," kata bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar Pahang itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang di Istana Abu Bakar di sini pada Jumaat.

Sementara itu, ADUN Peramu Jaya, Datuk Mohd Nizar Najib, 46, bersyukur dan bertuah kerana diberi kepercayaan untuk berada dalam barisan exco kerajaan negeri.

"Tanggungjawab ini berat namun saya berdoa agar dapat melaksanakannya dengan baik.

"Sebagai exco baharu, saya akan berusaha sedaya upaya memain peranan dalam membantu kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail," katanya.

Artikel Berkaitan:

Fadzli dan Mohd Nizar antara 10 ADUN yang mengangkat sumpah Exco Kerajaan Pahang di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Lapan daripada exco itu dari BN dan dua mewakili Pakatan Harapan (PH).