Ringgit mengukuh hari ketiga berturut-turut

Ringgit meneruskan aliran mengukuh berbanding dolar AS apabila meningkat pada sesi awal hari ini. Foto 123RF
Ringgit meneruskan aliran mengukuh berbanding dolar AS apabila meningkat pada sesi awal hari ini. Foto 123RF
A
A
A

RINGGIT meneruskan aliran mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila meningkat pada sesi awal hari ini yang juga hari ketiga berturut-turut, susulan pengumuman data ekonomi negara maju itu yang memaparkan kebimbangan mengenai inflasi, kata penganalisis.

Pada 9 pagi ini, ringgit meningkat kepada 4.3900/3995 berbanding dolar AS daripada 4.4030/4100, semalam.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata dolar AS terus susut berbanding ringgit dan kini diniagakan di bawah paras 4.4000 selepas pengumuman Indeks Harga Teras Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS yang lebih rendah daripada jangkaan.

Indeks tersebut merupakan petunjuk utama trend pembelian dan inflasi.

"Angka lebih rendah menunjukkan Rizab Persekutuan AS (Fed) berkemungkinan cenderung kepada pendirian dasar monetari yang terarah kepada kadar faedah rendah dan mempercepatkan lagi pergerakan menurun dolar AS berbanding ringgit," katanya kepada Bernama.

Diniz berkata, dari sudut pandangan teknikal, dolar AS berbanding ringgit telah melepasi wilayah sokongan penting pada paras 4.4430 dengan sokongan seterusnya pada 4.3000.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.2399/2471 daripada 3.2282/2336 pada Khamis, rendah berbanding pound Britain kepada 5.3698/3815 daripada 5.3501/3586 serta lemah berbanding euro kepada 4.6130/6230 daripada 4.5976/6049, sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Unit tempatan itu bagaimanapun mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2403/2476 daripada 3.2420/2474 semalam. - Bernama