19 nelayan tempatan ditahan positif dadah

Anggota Maritim memeriksa seorang nelayan tempatan di muara Kuala Kedah pada Rabu.
Anggota Maritim memeriksa seorang nelayan tempatan di muara Kuala Kedah pada Rabu.
A
A
A

KUALA KEDAH - 19 nelayan tempatan ditahan dalam Ops Bersepadu di sekitar muara Kuala Kedah kerana disahkan positif dadah jenis methamphetamine pada Rabu.

Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Zool Hilmi Mohd Nadzir berkata, operasi Itu melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pokok Sena dan Kota Setar.

Ops Bersepadu tersebut bermula jam 7 pagi melibatkan 60 pegawai dan anggota melakukan serbuan di jeti-jeti bot serta pemeriksaan secara rawak ke atas bot nelayan tempatan yang berada di sekitar muara Kuala Kedah.

"Ada di antara nelayan ini memberi pelbagai alasan supaya tidak dilakukan ujian urin dan juga ditahan.

"Hasil operasi ini menyaksikan seramai 19 orang telah ditahan dan disahkan positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Zool Hilmi berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada warga tempatan berusia antara 25 hingga 50 tahun.

Menurutnya, semua nelayan tersebut dibawa ke Jeti Maritim Kuala Kedah sebelum diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut dan kes dituduh di bawah Seksyen 3(1) Akta Pemulihan Dadah 1983.

"Kami juga bukan terhenti setakat ini sahaja. Operasi bersepadu ini akan dijalankan bersama AADK dari masa ke semasa bagi mengekang penglibatan anak-anak muda khususnya di negara kita dari terjebak najis dadah ini," ujar beliau lagi.

Artikel Berkaitan: