'Lilitan kapten Harimau Malaya bukan untuk dibanggakan'

Faisal Halim
Faisal Halim
A
A
A

PEMAIN lincah Terengganu FC (TFC), Faisal Halim menyifatkan pemilihan selaku kapten Harimau Malaya bagi kempen Piala AFF 2022 bukan sesuatu yang perlu dibanggakan.

Sebaliknya, Faisal menegaskan tugas kapten tidak sempurna jika gagal memainkan peranan menyampaikan kehendak pengendali Kim Pan-gon, selain menjadi perantara kepada para pemain.

“Tidak semestinya lilitan di tangan, apa yang penting saya dapat bantu jurulatih serta menyampaikan maklumat kepada rakan-rakan bagi sebarang perkara yang mereka perlukan,” katanya pada sesi latihan kedua kem latihan pusat di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya pada Rabu.

FAM sebelum itu dalam kenyataan memaklumkan Faisal dan tonggak utama Selangor FC, Brendan Gan diumum sebagai kapten bersama-sama Dion Cools dan Safawi Rasid.

Jika diikutkan atas kertas, 29 pemain dipanggil pada sesi latihan pusat kali ini berbeza dengan apa yang dipamerkan selepas skuad itu layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit pada Jun lepas, namun Mohd Faisal optimis keputusan memberangsangkan dapat diraih pada Piala AFF nanti.

“Jangkaan peminat memang tinggi terhadap pasukan kita sebelum ini sebab kita dah berjaya buat yang terbaik. Sekarang senarai pemain sudah berubah yang selalu ada kini sudah tiada dalam senarai.

“Jadi kita doa yang terbaik pada sesiapa yang jurulatih beri peluang untuk lakukan yang terbaik dan jangan takut dengan kritikan. Percayalah kalau pemain dapat lakukan apa yang jurulatih mahukan keputusan yang baik dapat dicapai,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia akan terlibat dengan perlawanan antarabangsa menentang Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 9 Disember ini dan berdepan Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras pada 14 Disember sebelum memulakan cabaran pada saingan Piala AFF dari 20 Disember hingga 16 Januari tahun depan.

Artikel Berkaitan: