Pelantikan JAC: Cadangan Majlis Raja-Raja boleh dilaksana

Khairul Anwar
Khairul Anwar
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan Majlis Raja-Raja agar pelantikan lima lagi ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) tidak dibuat oleh Perdana Menteri boleh dilaksanakan menerusi penambahbaikan proses pelantikan serta meminda akta terbabit di Parlimen.

Pengamal Undang-Undang, Datuk Khairul Anwar Rahmat berpandangan, beberapa pengukuhan proses pelantikan boleh dimasukkan dalam akta berkaitan supaya ia tidak semata-mata secara pentadbiran.

“Maksudnya mesti ada panduan dan termaktub dalam undang-undang bahawa Perdana Menteri perlu merundingi pihak-pihak berkecuali sebelum memutuskan keahlian JAC.

“Pada masa yang sama, kita juga perlu menghormati kedudukan Perdana Menteri kerana beliau mempunyai legitimasi atau keabsahan kerana dipilih oleh rakyat.

“Sedangkan pihak-pihak yang dirundingi itu siapakah mereka. Adakah benar-benar bebas dan berkecuali dan apakah punca kuasa mereka,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan, Majlis Raja-Raja mencadangkan pelantikan lima ahli JAC tidak dibuat oleh Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah, sebaliknya ia diberi kepada beberapa institusi lain seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

Dalam pada itu Khairul Anuar berkata, cadangan tersebut memerlukan kajian mendalam selain menegaskan ia wajar dirunding dengan pihak-pihak berkepentingan sebelum dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

“Sementara kita boleh menangkap maksud tersirat cadangan ini iaitu untuk mengurangkan pemusatan kuasa Perdana Menteri, perkara ini perlu diperhalusi oleh pengamal undang-undang keseluruhannya.

“Buat masa ini secara pentadbiran, Perdana Menteri sebelum melantik JAC akan merujuk kepada beberapa Badan Kehakiman sama ada dari Semenanjung Malaysia serta dari Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan maklum balas.

“Perdana Menteri secara amalan pentadbirannya akan merundingi pihak-pihak di atas untuk mengelakkan tohmahan tidak baik terhadap ketelusan proses pelantikan hakim,” ujarnya.