DUN Negeri Sembilan lulus Belanjawan 2023

DUN Negeri Sembilan sebulat suara lulus Belanjawan Negeri 2023.
DUN Negeri Sembilan sebulat suara lulus Belanjawan Negeri 2023.
A
A
A

SEREMBAN - Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada Rabu sebulat suara meluluskan Belanjawan Negeri 2023 bagi mengimbangi keperluan sara hidup dan mengukuhkan ekonomi.

Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 Negeri Sembilan memperuntukkan sebanyak RM550 juta telah dibahaskan selama tiga hari oleh 36 ADUN bermula Jumaat lepas.

Belanjawan 2023 bertemakan Melunas Janji Menggalas Harapan merupakan perbelanjaan defisit sebanyak RM100 juta berikutan peruntukan RM550 juta melebihi anggaran hasil sebanyak RM450 juta pada tahun berkenaan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, fokus Belanjawan 2023 adalah kepada pelaksanaan inisiatif- inisiatif yang diyakini dapat mengimbangkan keperluan sara hidup dan pengukuhan ekonomi supaya terus berdaya tahan.

"Belanjawan 2023 Negeri Sembilan terus diperkasa bagi memastikan rakyat dapat dibantu dalam mengharungi isu peningkatan kos sara hidup dan jaminan bekalan makanan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Keempat (Belanjawan) Penggal Kelima DUN Negeri Sembilan Ke-14 di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Aminuddin pada sesi penggulungan berkata, kerajaan negeri mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat dalam menangani dan mencegah insiden banjir.

Menurutnya, sebahagian peruntukkan tahunan disediakan khusus bagi penyelenggaraan sistem perparitan dan lembangan sungai.

"Untuk rekod, jumlah peruntukan yang disediakan oleh kerajaan negeri kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan bagi projek-projek Pengurusan Tebatan Banjir dan Lembangan Sungai dari tahun 2018 hingga 2023 adalah sebanyak RM39.55 juta (59.69 peratus) daripada jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan P54 - JPS berjumlah RM66.26 juta.

Artikel Berkaitan:

"Malah, peruntukan tahun 2023 bagi JPS telahpun dinaikkan dari 10.13 juta tahun 2022 kepada 11.90 juta pada tahun hadapan," katanya.

Jelasnya, bagi menghadapi bencana, kerajaan negeri telah menambah peruntukan di bawah Vot Pembangunan P-64 Luar Jangka sebanyak RM2 juta pada tahun 2023 berbanding RM0.5 juta pada tahun 2022.

Selain itu, peruntukan bagi bencana juga disediakan di bawah Akaun Amanah Permasalahan Rakyat, Akaun Amanah Bencana, dan Akaun Amanah Dana Khas Menteri Besar untuk Khidmat Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat," katanya.

Sebelum itu, Mustapha Nagoor (BN-Palong) ketika membahaskan RUU itu berkata, penyediaan lot tanah untuk generasi baharu Felda perlu dilaksanakan secara konsisten selain kerjasama bersama kerajaan pusat dalam merealisasikan impian generasi kedua dan ketiga Felda dalam pemilikan rumah.

"Menjadi harapan kita mendapatkan lot tanah untuk generasi kedua dan ketiga Felda ini menjadi kenyataan kalau tidak ia akan mengambil masa bertahun-tahun dan tidak selesai," katanya.

Sementara itu, Mohd Razi Mohd Ali (BN-Sungai Lui) berkata, menjadi impian anak-anak peneroka untuk memiliki sebuah rumah di samping mengusahakan ladang-ladang milik keluarga.

Persidangan DUN ditangguhkan pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.