Banjir: Dua negeri masih terjejas, jumlah mangsa meningkat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Dua daerah di Perak dan satu daerah di Selangor masih terjejas akibat banjir setakat jam 4 petang Rabu.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi kenyataannya berkata, seramai 402 mangsa daripada 116 ketua isi rumah (KIR) direkodkan berada di empat pusat pemindahan sementara (PPS) setakat ini.

"Jumlah ini menunjukkan sedikit peningkatan berbanding pada Selasa di mana hujan lebat berterusan petang semalam telah mengakibatkan kejadian banjir di beberapa kawasan di daerah Sepang, Hulu Selangor dan Ampang Jaya," katanya.

Menurut Nadma, dua PPS dibuka di daerah Sepang bagi menempatkan 90 mangsa daripada 24 KIR.

Sementara itu, laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula berkata, sehingga jam 4.30 petang Rabu, satu sungai merekodkan bacaan pada tahap bahaya iaitu Sungai Junjung di Simpang Empat, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Kata JPS, terdapat dua sungai di mana bacaan air berada di tahap amaran iaitu Sungai Semenyih di Pekan Bangi Lama, Hulu Langat, Selangor dan Sungai Bernam di Kampung Sungai Selisek, Hulu Selangor, Selangor.

JPS turut mengeluarkan amaran banjir bagi negeri Terengganu dan Kelantan pada jam 3 petang Rabu melibatkan lembangan Sungai Setiu, Sungai Dungun, Sungai Kemaman, Sungai Paka, Sungai Besut dan Sungai Golok.

"Banjir yang diramalkan ini boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.

Artikel Berkaitan:

"Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir terlibat," ujarnya.

Sementara itu Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) berkata, pada jam 3.30 petang telah mengeluarkan ramalan cuaca signifikan bagi tempoh 1 hingga 7 Disember.

"Berdasarkan analisis model-model cuaca, angin timuran kencang dijangka bertumpu di timur Sabah, pantai timur dan utara Semenanjung hingga 5 Disember dan berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan di kawasan terbabit.

"Pada masa sama satu sistem cuaca tekanan rendah dijangka terbentuk di perairan Laut China Selatan pada 2 Disember dan diramal bergerak ke barat merentasi sempadan Malaysia-Thailand menuju ke Laut Andaman pada 3 hingga 4 Disember," jelasnya.

Sehubungan itu, MetMalaysia telah keluarkan amaran hujan berterusan (waspada) melibatkan timur Sabah, pantai timur dan utara Semenanjung dalam tempoh 1 hingga 4 Disember.