Rosmah tak pernah beli berlian merah jambu: Peguam

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peguam Datin Seri Rosmah Mansor menegaskan isteri bekas Perdana Menteri itu tidak pernah membeli berlian merah jambu walaupun polis mengesahkan terdapat bukti transaksi pembelian menggunakan wang 1MDB.

Melalui kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Datuk Geethan Ram Vincent dan Datuk K Kumaraendran, mereka berkata, Rosmah juga tidak pernah menerima berlian merah jambu berkenaan.

"Kami merujuk kepada satu kenyataan media Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikeluarkan pagi ini (semalam) sejurus sebelum tempoh mengundi PRK Rantau bermula yang membuat rujukan kepada anak guam kami, Rosmah.

ARTIKEL BERKAITAN: Wujud transaksi beli berlian merah jambu guna wang 1MDB: PDRM

"Kami dengan ini ingin menyatakan bahawa, Datuk Seri Najib Tun Razak ataupun Rosmah tidak pernah membeli cincin merah jambu (pink diamond) yang disebutkan kenyataan itu. Mereka juga tidak pernah menerima pink diamond itu," katanya.

Geethan Ram dan Kumaraendran juga menjelaskan, sebagaimana telah dinyata dan disahkan oleh PDRM melalui kenyataan yang sama, cincin berlian itu tidak berada dalam pemilikan anak guamnya.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Datuk Khalil Azlan Chik sebelum ini mengesahkan terdapat bukti transaksi pembelian berlian merah jambu bernilai AS$23 juta (RM95 juta) dengan menggunakan wang syarikat 1MDB.

Katanya, transaksi pembelian itu dikesan daripada seorang peniaga barang kemas di New York dengan menggunakan wang syarikat 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, walaupun berlian merah jambu tersebut gagal ditemui sewaktu serbuan polis, namun bukti terkumpul jelas membuktikan wujud transaksi pembeliannya.

Isnin lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, ejen jualan yang membawa masuk berlian merah jambu dan barang kemas lain ke Malaysia untuk isteri seorang VVIP telah mengisytiharkan barangan berharga berkenaan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Rosmah kemudian menzahirkan rasa syukur selepas isu pembelian berlian merah jambu yang menjadi modal pembangkang menyerang dirinya dan BN untuk tempoh sekian lama sebelum ini terbukti fitnah.

Bagaimanapun, beliau tetap kecewa kerana ramai yang mempercayai berita fitnah itu sehingga memberi kesan terhadap dirinya dan suami.

Sementara itu, Najib berkata, selepas pendedahan Amiruddin, ramai yang memohon maaf kepada dirinya dan isteri kerana termakan fitnah yang dibuat pembangkang sebelum ini.