TNB siasat kemalangan kanak-kanak maut dihempap tiang elektrik

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang menjalankan siasatan berhubung kemalangan maut melibatkan seorang kanak-kanak yang bermain di kawasan simpanan sementara tiang-tiang elektrik di Changlun, Kedah.

TNB dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, pihaknya juga turut bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan bagi mengetahui punca kejadian.

Justeru pihaknya mengingatkan orang ramai agar tidak menghampiri tapak kerja dan menyentuh barang-barang binaan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

"TNB turut menghantar wakil menziarahi keluarga mangsa dan memberikan bantuan yang sewajarnya.

"TNB mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa serta bersimpati dengan keluarga dua lagi kanak-kanak yang sedang menerima rawatan di Hospital Jitra," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini media melaporkan, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun maut manakala dua lagi rakannya parah dipercayai dihempap tiang elektrik dalam kejadian di Jalan K16, Kampung Belukar dekat Changlun pada Selasa.

Dalam pada itu TNB turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang gambar atau video kejadian berkenaan dan membuat sebarang spekulasi.

"Sebaliknya beri ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan di samping menghormati perasaan dan sensitiviti keluarga mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak maut, rakan cedera dihempap tiang elektrik