Banjir kilat dua kampung di Sepang semakin pulih

Kampung Ampar Tenang di Sepang yang terjejas banjir selepas hujan lebat pada Selasa.
Kampung Ampar Tenang di Sepang yang terjejas banjir selepas hujan lebat pada Selasa.
A
A
A

SEPANG - Situasi banjir kilat di Kampung Ampar Tenang dan Kampung Sri Tanjung di sini semakin pulih selepas jumlah mangsa yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan pada Rabu.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, setakat jam 8 pagi ini, seramai 102 mangsa terdiri daripada 28 keluarga masih berada di PPS Dewan Taman Gemilang dan PPS Dewan Orang Ramai Dengkil.

Keadaan banjir kilat di Kampung Ampar Tenang di Sepang.
Keadaan banjir kilat di Kampung Ampar Tenang di Sepang.

"Di PPS Dewan Taman Gemilang masih terdapat 62 mangsa membabitkan 16 keluarga manakala selebihnya ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Dengkil.

"Selain itu, operasi baik pulih ban pecah di Kampung Ampar Tenang juga telah dijalankan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, situasi setakat Rabu adalah terkawal dan banjir dilaporkan semakin surut.

Tambahnya, sebagai langkah berjaga-jaga, pihak bomba melaksanakan 17 pemantauan harian membabitkan 29 keanggotaan termasuk dua aset bot dan dua jentera di seluruh Selangor.

Ban di Kampung Ampar Tenang dibaiki selepas pecah akibat hujan lebat pada Selasa.
Ban di Kampung Ampar Tenang dibaiki selepas pecah akibat hujan lebat pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, hujan lebat pada petang melanda beberapa kawasan antaranya Taman Meru Jaya, Klang; Kampung Ahmad Razali, Dengkil dan Kota Warisan, Sepang hingga mengakibatkan banjir kilat.

Paras air bagaimanapun beransur surut dan keadaan dikawal dengan pemantauan pihak bomba dan polis.