Seorang lagi suspek rompak diberkas di Butterworth

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Seorang lelaki yang melarikan diri daripada polis dalam kejadian rompakan bersenjata di Parit Buntar berjaya diberkas pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, suspek berusia 49 tahun itu ditahan di Butterworth, Pulau Pinang sekitar jam 10.30 malam.

"Perintah reman akan diperolehi pagi ini terhadap lelaki tersebut bagi membantu siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi pemberita pada Rabu.

Beliau berkata, tiga suspek dipercayai anggota kumpulan sama yang ditangkap sebelum ini telah direman selama lima hari.

"Tiga lelaki itu direman bermula Isnin sehingga Jumaat ini," katanya.

Pada Ahad, kumpulan suspek itu dikesan melakukan rompakan bersenjata pedang dan parang ke atas seorang pemborong dan pembekal sayur di Pasar Parit Buntar mengakibatkan kerugian bernilai RM15,000.

Mangsa berusia 51 tahun turut mengalami cedera parah di pergelangan tangan kanan akibat ditetak.

Bagaimanapun, tindakan pantas polis berjaya memberkas tiga lelaki terbabit sementara seorang berjaya melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

Hasil soal siasat terhadap ketiga-tiga suspek mendapati, mereka melakukan rompakan menggunakan kenderaan dan modus operandi sama sebanyak 11 kali sebelum ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.