Polis berkas tiga suspek samun bersenjata pedang, parang

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian rompakan bersenjata hingga mengakibatkan seorang lelaki cedera di Parit Buntar pada Ahad. -Foto: Ihsan pembaca (Gambar kecil: Lelaki dikenali P Manimaran dikehendaki bagi membantu siasatan polis.)
Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian rompakan bersenjata hingga mengakibatkan seorang lelaki cedera di Parit Buntar pada Ahad. -Foto: Ihsan pembaca (Gambar kecil: Lelaki dikenali P Manimaran dikehendaki bagi membantu siasatan polis.)
A
A
A

IPOH - Tindakan pantas polis berjaya memberkas tiga lelaki bersenjatakan pedang dan parang dalam satu kejadian rompakan di Parit Buntar pada Ahad.

Kesemua suspek berusia lingkungan 47 hingga 63 tahun itu ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian yang sedang melakukan rondaan sekitar jam 4 petang.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, semasa rondaan, polis telah terserempak sebuah kereta jenis Proton Waja yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, anggota kemudiannya mengekori kenderaan itu dan terlihat terdapat tiga lelaki bersenjatakan pedang dan parang meluru masuk ke dalam kereta berkenaan.

"Polis dengan segera telah menyerbu kereta untuk menahan kumpulan lelaki itu, namun suspek yang terkejut bertindak melibas pedang ke arah polis dan cuba melarikan diri dengan melanggar anggota yang berada di hadapan kenderaan.

"Polis terpaksa melepaskan tembakan dalam usaha mempertahankan diri dan menghentikan kenderaan dinaiki suspek itu.

"Tiga daripada mereka berjaya diberkas manakala seorang lagi telah melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan mendapati, kumpulan suspek itu semasa kejadian telah merompak seorang pemborong dan pembekal sayur di Pasar Parit Buntar mengakibatkan kerugian bernilai RM15,000.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mangsa berusia 51 tahun turut mengalami cedera parah di pergelangan tangan kanan akibat ditetak.

Lokasi kejadian di mana tiga suspek terlibat kes rompakan bersenjata diberkas polis.
Lokasi kejadian di mana tiga suspek terlibat kes rompakan bersenjata diberkas polis.

"Hasil soal siasat terhadap ketiga-tiga suspek mendapati, mereka melakukan rompakan menggunakan kenderaan dan modus operandi sama sebanyak 11 kali sebelum ini.

"Semakan rekod lampau juga mendapati mereka memiliki rekod bersabit kes dadah dan jenayah. Ujian saringan air kencing positif dadah jenis methamphetamine dan morfin," katanya.

Mohd Yusri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

Ujarnya, polis kini sedang mengesan seorang lagi suspek yang melarikan diri dikenali P Manimaran bagi membantu siasatan.

"Orang ramai yang mengenali suspek atau mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan," katanya.