Dua cabaran ekonomi perlu ditangani PM, kabinet

NOOR AZLAN
NOOR AZLAN
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berpandangan dua cabaran ekonomi perlu ditangani dengan bijak oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kabinet yang akan dibentuk nanti.

Noor Azlan yang juga Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) berkata, perkara pertama, Malaysia perlu segera menyusun strategi untuk berhadapan dengan kelembapan ekonomi global 2023.

"Apakah langkah kerajaan untuk memastikan prestasi global ini tidak menjejaskan proses pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan kehidupan rakyat?

"Kedua, (perlu) menangani halangan-halangan struktural yang menjejaskan kualiti kehidupan rakyat dan membelenggu negara untuk kekal berdaya saing," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Mengulas lanjut, Noor Azlan memberitahu, isu kos sara hidup, kualiti pekerjaan dan pendapatan, lambakan pekerja asing, sekuriti dan bekalan makanan, tarikan pelabur, adaptasi teknologi, pengangguran siswazah dan belia, keselamatan sosial, jurang wilayah dan gender dan sebagainya memerlukan kesungguhan politik (political will), dedikasi dan komitmen untuk menyelesaikannya.

Noor Azlan menegaskan, cabaran struktural itu sudah terlalu lama dibincangkan dan pelbagai keputusan telah diumumkan namun pelaksanaannya menjadi cabaran utama kerajaan.

"Pelaksanaan yang berkesan perlu bersifat transformatif dan rentas kementerian. Tiada cabaran merupakan milik mutlak satu kementerian sahaja. Penyusunan semula jentera kerajaan yang membolehkan koordinasi perlaksanaan yang berkesan diperlukan.

"Semakan menyeluruh birokrasi yang merumitkan wajar disegerakan. Kerajaan mesra rakyat dan perniagaan mampu menjana pertumbuhan. Pasukan tindakan yang berdedikasi, melapor terus kepada Perdana Menteri diperlukan.

Artikel Berkaitan:

"Pelaksanaan dan kemajuan perlu dipantau dengan rapi. Umumkan sasaran dan laporkan pencapaian," ujarnya.

Di samping itu, Noor Azlan turut mengucapkan tahniah kepada Anwar atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri dan berharap Ahli Parlimen Tambun berkenaan dapat merealisasikan agenda Malaysia yang baharu.