Lelaki bawa bendera pelangi curi perhatian

Lelaki yang menceroboh padang dengan membawa bendera berwarna pelangi ketika aksi Kumpulan H yang menemukan Portugal dan Uruguay di Stadium Lusail pada Selasa. - Foto EPA
Lelaki yang menceroboh padang dengan membawa bendera berwarna pelangi ketika aksi Kumpulan H yang menemukan Portugal dan Uruguay di Stadium Lusail pada Selasa. - Foto EPA
A
A
A

SEORANG lelaki yang membawa bendera pelangi mencuri tumpuan pemain dan peminat apabila menceroboh padang ketika berlangsung aksi Kumpulan H Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Al Janoub pada Selasa.

Penceroboh terbabit berada di atas padang selama 30 saat pada separuh masa kedua permainan antara Portugal dan Uruguay sebelum diberkas dan dikawal anggota pihak keselamatan.

Lelaki itu memakai kemeja-T biru dengan perkataan 'Hormati Wanita Iran' di bahagian belakang.

Di bahagian hadapan bajunya pula tertera, perkataan 'Selamatkan Ukraine' merujuk kepada negara yang dilanda perang.

Di sebalik insiden itu, pemain Portugal, Ruben Neves seolah memahami situasi tersebut.

“Kami tahu apa yang berlaku di sekitar Piala Dunia ini. Ia adalah perkara yang biasa berlaku.

“Sudah tentu, kita semua bersama mereka. Dengan Iran dan dengan wanita Iran.

“Jadi saya harap tidak berlaku apa-apa kepada individu itu, kerana kami memahami mesejnya. Saya rasa seluruh dunia juga memahaminya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Penunjuk perasaan itu dikenal pasti sebagai Mario Ferri dari Itali oleh agensi akhbar Itali, AGI.

Dia pernah mengadakan protes sama sebelum ini, termasuk di Piala Dunia 2014 di Brazil, dengan membangkitkan isu kanak-kanak yang hidup dalam kemiskinan.