Aksi dramatik Denmark, Australia

Dari kiri: Arnold, Hjulmand - Foto EPA
Dari kiri: Arnold, Hjulmand - Foto EPA
A
A
A

ENGGAN menoleh ke belakang, Denmark mahu fokus aksi terakhir Kumpulan D Piala Dunia Qatar 2022 menentang Australia di Stadium Al Janoub pada Rabu.

Biarpun masih berasa sesal gagal meledak ketika menentang Tunisia apabila sekadar seri tanpa jaringan dan kedudukan mereka dalam kumpulan itu lebih sukar apabila tewas 1-2 kepada Perancis pada aksi kedua.

Di sebalik cabaran itu, jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand sempat berseloroh sambil meminta untuk meminjam penyerang berbisa Norway, Erling Haaland.

Bagaimanapun, realitinya beliau mampu menyandarkan harapan kepada pasukan yang menjaringkan purata tiga gol satu perlawanan pada pusingan kelayakan.

“Dalam pasukan ini kami mempunyai ramai penjaring. Kami memiliki penyerang hebat selain pemain hebat di segenap penjuru padang yang boleh menjaringkan gol,” ujar Hjulmand.

Denmark ke separuh akhir Euro 2020 tahun lalu, sering kali mara ke peringkat kalah mati Piala Dunia dan berdasarkan pencapaian itu peluang untuk menundukkan Australia dilihat cerah.

Kemenangan itu cukup buat mereka untuk mara ketika Tunisia dijangka sukar untuk mengalahkan Perancis dalam satu lagi aksi Kumpulan D pada Rabu.

Dalam pada itu, jurulatih Australia, Graham Arnold dijangka tidak merombak pasukannya dan mungkin hanya menyenaraikan Ajdin Hrustic yang kembali cergas di bahagian tengah.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau menuntut para pemain mempamerkan satu lagi aksi berani untuk berpeluang melangkah lebih jauh.

Sementara itu, keyakinan Australia juga memuncak selepas mengatasi Tunisia 1-0 Sabtu lalu untuk meraih kemenangan pertama pada pusingan akhir Piala Dunia sejak 2010.

Mereka berazam untuk mengekalkan momentum itu dan tidak mahu mempersia-siakan peluang keemasan untuk melangkah lebih jauh di pentas berprestij tersebut.

“Keputusan itu (menang ke atas Tunisia) tidak bermakna jika kami tidak mendapat keputusan yang sama ketika menentang Denmark.

“Ia satu cabaran luar biasa. Kedua-dua pasukan berpeluang dan itulah sebabnya anda bermain bola sepak, mencipta saat-saat genting yang mendebarkan,” ujar pertahanan tengah Harry Souttar yang bertindak cemerlang berdepan Tunisia.