Peluang Arab Saudi akhiri kemarau 28 tahun

Arab Saudi akan menentang Mexico dalam aksi terakhir Kumpulan C Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Lusail pada Khamis. (Gambar kecil: Renard) - Foto EPA
Arab Saudi akan menentang Mexico dalam aksi terakhir Kumpulan C Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Lusail pada Khamis. (Gambar kecil: Renard) - Foto EPA
A
A
A

SKUAD Arab Saudi berpeluang mengulangi kejayaan 28 tahun lalu apabila mara ke pusingan kalah mati dalam aksi terakhir Kumpulan C Piala Dunia Qatar 2022 menentang Mexico di Stadium Lusail pada Khamis.

Biarpun pada awal kejohanan Arab Saudi yang dibimbing Herve Renard tidak diletakkan harapan tinggi, namun pada aksi pertama skuad Timur Tengah itu sudah mengejutkan seluruh dunia.

Juara dua kali, Argentina dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Arab Saudi dalam aksi pertama kumpulan pada 22 November lalu.

Dalam lima penampilan di Piala Dunia, Arab Saudi hanya sekali berjaya mara ke pusingan 16 terbaik iaitu pada edisi 1994.

Renard berkata, pasukannya akan bermain menentang Mexico di Stadium Lusail dengan semangat dan keinginan yang tinggi.

Kami mahukan penyokong mencipta sejarah. Saya mahukan stadium menjadi hijau sekali lagi, mungkin kami akan bermain menggunakan jersi berwarna putih tetapi ia tidak penting, kami mahukan sokongan daripada peminat," katanya.

Kumpulan C ketika ini dipimpin Poland yang mengutip empat mata, diikuti Argentina dan Arab Saudi yang berkongsi tiga mata, manakala Mexico tercorot sekadar satu mata.

Arab Saudi wajib menewaskan Mexico jika mahu berada dalam kelompok 16 pasukan terbaik dan percaturan itu tidak mengambil kira keputusan perlawanan membabitkan Poland menentang Argentina.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun jika keputusan seri, Arab Saudi perlu menagih talian hayat Poland untuk melakukan keajaiban mengalahkan Argentina.

Sekiranya kalah akan menyukarkan Arab Saudi untuk bersaing di pusingan kalah mati.

Arab Saudi hanya boleh tewas dengan satu gol sambil mengharapkan Poland memenangi perlawanan dengan jaringan yang besar, namun ia dilihat sebagai sukar kerana Argentina juga menaruh harapan tinggi untuk mara ke pusingan seterusnya.

"Tiada siapa di seluruh dunia menjangkakan kami boleh bermain sebaik ini. Di Arab Saudi kami mengenali pemain dengan baik, tetapi mereka tidak diketahui oleh peminat di seluruh dunia.

"Kami masih kekal bersaing dan akan terus berjuang," ujar Renard.