Beri laluan kepada BN dianggap pendekatan luar biasa

Mohd Johari (kiri) ketika menyantuni pengundi sepanjang tempoh kempen PRU15 bagi kerusi DUN Tioman.
Mohd Johari (kiri) ketika menyantuni pengundi sepanjang tempoh kempen PRU15 bagi kerusi DUN Tioman.
A
A
A

ROMPIN - Calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain menyifatkan laluan yang diberikan oleh Pakatan Harapan (PH) kepada parti itu dalam pilihan raya tersebut merupakan pendekatan luar biasa dan jarang berlaku selama ini.

Menurutnya, ia satu perkembangan yang baik dan kerjasama diberikan pertama kali berlaku di peringkat Parlimen Rompin dan DUN Tioman.

"Saya berterima kasih dan menyambut baik langkah PH serta calonnya, Mohd Fadzli Mohd Ramly untuk memberikan laluan kepada BN kali ini.

"Ia satu perkembangan baik atas semangat kerjasama dan bersatu untuk menggerakkan jentera sokongan sepenuhnya dalam pilihan raya ini," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli pada Selasa mengumumkan mengambil keputusan untuk memberi laluan kepada calon BN bagi PRU15 di DUN Tioman sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional.

Dalam pada itu, Mohd Johari yang juga penyandang kerusi itu selama tiga penggal berharap usaha tersebut dan laluan yang diberikan diterjemahkan dalam bentuk tindakan iaitu kedua-dua pihak bersama ke arah menggerakkan jentera masing-masing meraih undi.

"Kita perlu mencuba sedaya upaya memenangi pilihan raya kerusi DUN Tioman dalam meneruskan kelangsungan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat dan negeri," tambah beliau lagi.

Mohd Johari akan berdepan pertembungan antara calon Bebas, Sulaiman Bakar, Osman Bakar (Pejuang) dan calon Perikatan Nasional (PN) Nor Idayu Hashim.

Artikel Berkaitan:

PRU15 DUN Tioman yang sepatutnya berlangsung serentak pada 19 November lalu ditangguhkan berikutan kematian calon PN terdahulu, Allahyarham Md Yunus Ramli.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan, Khamis, 24 November sebagai hari penamaan calon bagi PRU15 DUN Tioman, 3 Disember sebagai hari pengundian awal dan hari mengundi pada 7 Disember depan.