Rebut hadiah berjumlah RM15,000 Akaun Simpan SSPN Prime

Peraduan 'Syoknya 25 Tahun PTPTN' kolaborasi bersama Sinar Harian

Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Harian, Farah Hussamuddin (lima dari kanan) pada majlis pelancaran peraduan 'Syoknya 25 tahun PTPTN' di Studio F Kumpulan Media Karangkraf, pada Jumaat.
Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Harian, Farah Hussamuddin (lima dari kanan) pada majlis pelancaran peraduan 'Syoknya 25 tahun PTPTN' di Studio F Kumpulan Media Karangkraf, pada Jumaat.
A
A
A

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menganjurkan peraduan 'Syoknya 25 Tahun PTPTN' bermula 30 November hingga 31 Disember 2022 dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM15,000 berbentuk akaun Simpan SSPN Prime.

Menurut Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid, menerusi peraduan sempena sambutan Jubli Perak ke-25 Tahun PTPTN, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan Sinar Harian melalui dua platform iaitu media cetak dan digital.

“Bagi pembaca yang ingin menyertai peraduan ini melalui platform akhbar boleh mendapatkan Sinar Harian bermula 30 November hingga 16 Disember.

“Pembaca perlu jawab tiga soalan mudah bagi setiap siri dan kumpulkan keratan itu untuk dihantar kepada krew di Karnival PTPTN 'Sempoi Baq Hang' di Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang pada 17 Disember 2022 untuk menebus hadiah.

“Seramai 50 peserta terawal akan memenangi hadiah berupa akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM100 serta hadiah eksklusif barangan PTPTN,” katanya selepas majlis pelancaran peraduan 'Syoknya 25 tahun PTPTN' di Studio F Kumpulan Karangkraf, di sini pada Jumaat.

Mastura ketika berucap pada majlis pelancaran berkenaan.
Mastura ketika berucap pada majlis pelancaran berkenaan.

Bagi peraduan melalui platform media digital pula beliau berkata, orang ramai boleh mengakses soalan melalui microsite Sinar Harian atau mengimbas kod QR dalam akhbar itu mulai 1 Disember hingga 31 Disember.

Artikel Berkaitan:

“Pembaca perlu mengisi maklumat peribadi sebelum meneka Logo 25 Tahun PTPTN yang tersembunyi dan menjawab sembilan soalan umum.

“Seramai 25 pemenang akan menerima ganjaran tunai dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime sehingga RM10,000 serta barangan eksklusif daripada PTPTN serta Sinar Harian.

“Pemenang tempat pertama akan memenangi RM2,500 dan barangan eksklusif PTPTN, tempat kedua (RM1,500 dan barangan eksklusif PTPTN), manakala pemenang tempat ketiga (RM500 dan barangan eksklusif PTPTN. Seramai 22 pemenang akan menerima saguhati RM250 dan barangan eksklusif PTPTN,” katanya.

Perkenal produk

Jelas Mastura, pemberian hadiah dalam bentuk akaun Simpan SSPN adalah salah satu kaedah PTPTN dalam memperkenalkan produk Simpan SSPN kepada masyarakat umum.

Dalam pada itu, Mastura turut memaklumkan, PTPTN dan Sinar Harian juga bekerjasama dalam menjayakan karnival 'Sempoi Baq Hang' di Pejabat PTPTN Pulau Pinang.

“Pemilihan lokasi penganjuran Karnival PTPTN Sempoi Baq Hang di Pulau Pinang adalah bersempena pelancaran Pejabat PTPTN Pulau Pinang yang merupakan pejabat negeri pertama yang akan memperkenalkan penjenamaan imej PTPTN baharu.

“Karnival ini kesinambungan kepada Peraduan 'Syoknya 25 Tahun PTPTN' di mana ia adalah salah satu program promosi melalui pendekatan turun padang bagi mengukuhkan hubungan serta mendekati masyarakat melalui aktiviti dan pertandingan yang menarik,” katanya.

Ulas Mastura lagi, Karnival PTPTN 'Sempoi Baq Hang' juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung.

“Seramai 50 peserta Peraduan ‘Syoknya 25 Tahun PTPTN’ terawal yang hadir ke karnival tersebut akan menerima akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM100 setiap seorang.

“Kemudian 30 peserta terawal juga layak menyertai aktiviti yang disediakan Team Sinar Rovers dan menerima akaun Simpan SSPN Prime sebanyak RM30.

“Selain itu, terdapat juga aktiviti seperti kira logo Jubli Perak 25 Tahun PTPTN, Kami Tanya Hangpa Jawab, pertandingan mewarna dan puzzle, pertandingan Action Song Simpan SSPN, fashion show, persembahan Boria Omara serta cabutan Hadiah Sempoi Baq Hang,” katanya.

Mastura (kiri) bersama Farah merasmikan majlis pelancaran peraduan 'Syoknya 25 tahun PTPTN' pada Jumaat.
Mastura (kiri) bersama Farah merasmikan majlis pelancaran peraduan 'Syoknya 25 tahun PTPTN' pada Jumaat.

Tambahnya, karnival itu turut dimeriahkan pelbagai kaunter agensi seperti Bank Negara, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), klinik kesihatan, Jabatan Akauntan Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan dan produk makanan.

“Pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah di samping berhibur dengan selebriti jemputan seperti Azrul Raja Lawak dan Mamak Puteh,” ujarnya.

Mesej kempen

Sementara itu, Ketua Jabatan Iklan Sinar Harian, Airol Fadley Limin menzahirkan ucapan terima kasih kepada PTPTN yang terus memilih dan mempercayai akhbar itu selama enam tahun bagi menyampaikan mesej kempen mereka.

“Justeru, kita mengalukan-alukan penyertaan pembaca untuk menyertai peraduan 'Syoknya 25 tahun PTPTN,” ujar beliau.

Pelawak dan pengacara Karnival PTPTN 'Sempoi Baq Hang', Azrul Zaidi dan Mamak Puteh juga mengajak orang ramai khususnya penduduk Pulau Pinang untuk hadir bagi mengetahui dengan lebih jelas mengenai skim simpanan yang ditawarkan PTPTN.