'Pakcik Ujang' dicari, hilang hampir seminggu

Norliza (kiri) dan Salmiah (kanan) menunjukkan gambar Abu Zahrin.
Norliza (kiri) dan Salmiah (kanan) menunjukkan gambar Abu Zahrin.
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang warga emas dilaporkan hilang hampir seminggu lalu di rumah pusaka keluarga di Kampung Gunung Pasir, Seri Menanti, di sini.

Adik bongsu warga emas itu, Norliza Abu Hasan, 53, hanya menyedari kehilangan Abu Zahrin, 67, pada 22 November lalu selepas abangnya tidak datang ke rumahnya seperti kebiasaan untuk makan malam.

Katanya, Abu Zahrin atau lebih mesra dipanggil abang Ujang merupakan anak kelima daripada sembilan beradik dan tinggal bersendirian di rumah pusaka bersebelahan rumahnya.

Kebiasaannya sekitar Maghrib abang Ujang sudah datang untuk makan malam. Tetapi sehingga masuk solat Isyak, dia masih tidak kelihatan.

"Bimbang ada perkara tidak diingini berlaku, saya terus mencari dan memanggilnya namun tiada sahutan," katanya ketika ditemuinya, di sini pada Isnin.

Ujar Norliza, abangnya tidak pernah hilang dari rumah, malah dia memang dikenali penduduk kampung.

"Kalau penduduk nampak abang berjalan kaki dengan tongkat di sekitar kampung atau di Pekan Kuala Pilah, mereka akan hantar abang pulang. Kini kami bimbang dengan keadaan abang, lebih-lebih lagi sudah seminggu dia hilang," katanya telah membuat laporan polis selepas 24 jam abangnya hilang.

Sementara itu, anak sulung warga emas berkenaan, Salmiah Abu Zahrin, 44, berkata, ayahnya mengalami masalah tekanan perasaan setelah berpisah dengan ibunya pada tahun 1993.

Artikel Berkaitan:

"Sejak itu ayah bertukar menjadi pendiam selain mengalami perubahan sikap yang ketara. Namun kami enam beradik sering menziarahi ayah dan kerap menceritakan keadaan masing-masing tetapi ayah tidak menunjukkan sebarang reaksi.

"Sebulan lalu, adik saya, Samsul Anuar, 43, meninggal dunia akibat sakit saraf dan ayah sangat sedih. Kami tak tahu jika kejadian itu memberikan lagi kesan kepadanya.

"Justeru, saya harap mana-mana pihak yang ternampak ayah atau ada menumpangkan ayah di mana-mana agar dapat menghubungi kami sekeluarga atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya yang telah mencari di sekitar kawasan kampung dan berdekatan, Pekan Kuala Pilah, Sri Menanti, Jelebu dan Seremban.

Sehubungan itu, individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Norliza di talian 0136555548 atau Salmiah di talian 0173123071.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan pihak polis sedang mengesan warga emas itu.