Elemen kemanusiaan cetus minat Dharveen terhadap teater

Dharveen Surendran
Dharveen Surendran
A
A
A

KUALA LUMPUR - Elemen kemanusiaan dalam pementasan teater antara pencetus kepada graduan Pengajian Diploma Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Dharveen Surendran, 23, untuk menceburkan diri dalam bidang berkenaan.

Penerima Anugerah Emas Rektor Emas akademi itu berkata, bidang tersebut bukanlah pilihannya semasa di bangku sekolah memandangkan dia lebih cenderung kepada subjek berkaitan sains.

Namun, setelah tamat pengajian, anak sulung daripada tiga beradik itu mengambil keputusan untuk menceburkan diri dalam bidang teater atau lakonan.

“Semasa saya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beberapa tahun dahulu, saya telah bertemu dengan seorang pelajar daripada Aswara, Xavier Wong yang juga merupakan seorang pelakon filem Adiwira, dia telah membawa saya dalam bidang pementasan teater.

“Daripada aktiviti itulah, saya mula ada minat terhadap teater dan juga apa yang menjadi pencetus kepada saya terhadap minat itu adalah elemen kemanusiaan dalamnya.

“Bila saya buat pementasan teater, memang saya kena menghayati nilai emosi kemanusiaan sesebuah watak, itu yang membuatkan saya semakin minat dengannya,” kata anak kelahiran Ipoh, Perak kepada media selepas Istiadat Konvokesyen Aswara kali ke-17 pada Ahad.

Konvokesyen yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvokesyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dekat sini disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Saraya Arbi.

Menurut Aswara, istiadat berprestij itu merupakan pengiktirafan terhadap 320 graduan akademi tersebut yang berjaya menamatkan pembelajaran dalam bidang seni, budaya dan warisan.

Artikel Berkaitan:

“Seramai tiga graduan dianugerahkan Ijazah Kedoktoran Seni Kreatif, lima bagi Sarjana Seni Kreatif manakala 115 bagi graduan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dan 197 graduan diploma.

“Turut diraikan dalam istiadat tersebut iaitu penganugerahan terhadap 56 graduan Diploma Seni Muzik Aswara,” katanya.

Pada majlis tersebut, Ketua Pengarah Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Datuk Seri Dr Abdul Khani Daud yang sebelum ini merupakan graduan Pasca Siswazah di akademi itu sekali lagi menerima penganugerahan.

Abdul Khani menerima penganugerahan tersebut dalam Ijazah Kedoktoran Seni Kreatif.

“Ia membuktikan mutu pengajian dan pembelajaran di Aswara menjadi pilihan kakitangan pengurusan dan profesional dalam melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi dalam konteks seni, budaya dan warisan,” tambah kenyataan itu.

Aswara berharap penganjuran konvokesyen itu dapat melakar kejayaan dalam seni, budaya dan warisan.

Perkara tersebut selaras dalam usaha melahirkan karyawan dan seniman yang bukan sahaja cemerlang dalam pencapaian akademik, malah cemerlang secara holistik dan seimbang segenap aspek.

“Semoga mereka menjadi pemangkin untuk menyumbang kepada pembentukan masyarakat dan pembinaan tamadun manusia,'' katanya.