Sinar Harian rangkul tiga anugerah

Norhaspida (kiri) dan Rahayu bersama hadiah dimenangi sempena Majlis Apresiasi Media Terengganu 2022 anjuran Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada malam Ahad.
Norhaspida (kiri) dan Rahayu bersama hadiah dimenangi sempena Majlis Apresiasi Media Terengganu 2022 anjuran Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada malam Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sinar Harian merangkul tiga anugerah sempena Majlis Apresiasi Media Terengganu 2022 anjuran Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada malam Ahad.

Ketua Wartawan Sinar Harian, Rahayu Mustafa memenangi tempat kedua bagi kategori Berita Terbaik Media Cetak yang melayakkannya membawa pulang wang tunai RM2,000, trofi dan sijil penyertaan.

Seorang lagi wartawan, Norhaspida Yatim memenangi tempat keempat bagi kategori sama dengan menerima wang tunai RM500.

Selain itu, Norhaspida turut menangi tempat ketiga bagi anugerah Video Terbaik Media Digital dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 serta trofi dan sijil penyertaan.

Majlis tersebut dirasmikan Yang Dipertua (YDP) Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Yahaya Ali bagi mewakili Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Hadir sama, Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah dan Pengarah UPDI, Mohd Soud Said.

Sementara itu, Yahaya ketika ucapan perasmian berkata, majlis berkenaan bertujuan mengiktiraf peranan dan sumbangan pengamal media yang banyak membantu membuat liputan khususnya berkenaan kerajaan Terengganu.

Jelas beliau, penggiat media merupakan sosok penting kerana masyarakat kini lebih bergantung kepada media sosial untuk mendapatkan maklumat.

Artikel Berkaitan:

Justeru, katanya, Majlis Apresiasi Media Terengganu diadakan bagi mengiktiraf bahan berita menarik disiarkan oleh semua platform berita termasuk media baharu yang mengetengahkan kandungan berkaitan negeri Terengganu.

"Kerajaan negeri amat menghargai komitmen, kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada semua yang telah mengarang berita, menyunting gambar serta mengolah video untuk disiarkan di platform media masing-masing.

"Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada mereka yang membangunkan 'content' berkenaan negeri Terengganu untuk disebarkan kepada masyarakat sama ada dalam mahupun luar negara," katanya.

Majlis kali kedua diadakan itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM68,000 melibatkan lima kategori utama iaitu anugerah media cetak, anugerah media digital, anugerah media sosial, anugerah khas dan anugerah tokoh.