Lelaki ditahan samun dua warga asing

No Image Caption
A
A
A

KAJANG - Seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki menyamun dua warga asing dalam kejadian di sebuah pusat cuci kenderaan di Impian Murni, Saujana Impian di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 7.15 malam.

Menurutnya, ketika kejadian suspek berusia 21 tahun itu yang menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 menyamun seorang lelaki dan wanita warga asing.

"Suspek telah melarikan wang tunai yang disamun daripada mangsa sebanyak RM500 dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sebelum itu, kejadian samun ini tular di media sosial selepas satu hantaran dimuat naik seorang pengguna Facebook yang mendakwa suspek telah menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun.

Bagaimanapun, Mohd Zaid menafikan dakwaan itu dan berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak menyamar sebagai anggota polis semasa kejadian dan dipercayai bergerak secara solo.

Katanya, suspek diberkas sekumpulan anggota dari Cawangan D9, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sekitar Taman Kantai, Permai di sini pada Sabtu.

"Pemeriksaan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau dan positif dadah jenis methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

"Suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat dan turut dirampas sebuah motosikal serta pakaian yang digunakan semasa kejadian," katanya.

Tambah beliau, suspek direman empat hari bermula Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (merompak tanpa senjata) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda atau sebat.