Wanita Myanmar miliki dadah dijel 12 tahun

Soe Soe (kiri) dikawal polis ketika dibawa keluar lokap menuju ke bilik Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
Soe Soe (kiri) dikawal polis ketika dibawa keluar lokap menuju ke bilik Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang wanita warganegara Myanmar dihukum penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, pada Ahad atas tuduhan memiliki 227.9 gram (g) dadah jenis metamphetamine tiga tahun lalu.

Hukuman diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas terhadap tertuduh, Soe Soe, 53, selepas wanita itu mengaku bersalah pada tuduhan pindaan.

Berdasarkan tuduhan pindaan itu, suri rumah yang mempunyai lima anak tersebut didakwa memiliki 227.9g dadah jenis methamphetamine di pos sekatan jalan raya Agensi Keselamatan Sempadan (Aksem) di Lalang Pepuyu, Tanah Merah, pada jam 1.30 pagi, 8 September 2019.

Mohamad Abazafree dalam penghakiman berkata, pada akhir kes pendakwaan, pihak pendakwa raya gagal membuktikan elemen pengedaran namun mahkamah berpuas hati pendakwaan berjaya membuktikan dadah tersebut berada dalam milikan tertuduh.

“Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh untuk membela diri bagi pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 12(2)/39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun hingga maksimum 20 tahun.

“Tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan pindaan tersebut dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd Arshad, manakala tertuduh diwakili peguam, Cheang Chu Yong.

Pada prosiding itu, Chu Yong memohon bagi pihak anak guamnya supaya mahkamah meringankan hukuman memandangkan itu kesalahan pertama selain tertuduh ada masalah kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Norazlinawati bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh.

“Saya mohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan ini,” katanya.