Anwar pastikan kerajaan berbelanja berhemah, elak pembaziran

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar untuk memastikan kerajaan di bawah pentadbirannya melaksanakan perbelanjaan lebih berhemah bagi mengelakkan pembaziran.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, pentadbiran beliau tidak akan mengulangi amalan pembaziran oleh kerajaan sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua anggota Kabinet bakal dilantik supaya tidak menggunakan wang kerajaan bagi perbelanjaan tidak perlu termasuk untuk perkara berkaitan kerja membaik pulih pejabat masing-masing.

“Jadi ini sebagai mesej kepada semua pimpinan jabatan yang lain supaya ingat bahawa dalam keadaan sekarang ini, kita patut mulakan budaya baharu.

“Jangan gunakan wang kerajaan untuk kemudahan kita. Fikirkan kalau boleh jimat RM100, RM1,000 atau RM10,000 yang boleh dipulangkan semula kepada rakyat yang susah. Saya mulakan dengan itu selain daripada tidak tak ambil gaji (sebagai Perdana Menteri).

“Tapi yang lebih penting jangan membazir. Kerana faham saya daripada dulu tiap menteri bila pindah dan tukar jabatan orang lain, (belanja) setengah juta ringgit, RM300,000 untuk baiki kerusi dan meja semua yang cantik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Solat Hajat, Kenduri Kesyukuran dan Doa Selamat di Masjid Ashabus Solihin, Kajang, pada malam Sabtu.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau juga telah meletakkan syarat agar tiada sebarang pembelian baharu melibatkan keperluan di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Artikel Berkaitan:

"Saya akan gunakan kereta sedia ada (di pejabat) dan syaratnya tidak ada pembelian baharu daripada Pejabat Perdana Menteri.

“Kemudian mereka ada juga sebut umpamanya karpet itu ada yang pecah, saya kata tidak ada, baiki sikit-sikit cukup, jangan beli yang baharu,” ujarnya.

Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata, berkata, beliau sudah mengarahkan supaya Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022 diadakan pada pagi Ahad bagi membincangkan isu lonjakan kos sara hidup dihadapi rakyat.

Katanya, langkah itu perlu diadakan segera bagi membolehkan beliau mendengar laporan terkini berhubung isu mendesak itu.

“Lebih penting juga saya nak dengar tindakan yang boleh dilakukan bagi meleraikan masalah ini. Ada yang kadar segera dan jangka panjang,” katanya.