Suami isteri ditahan edar dadah

No Image Caption
A
A
A

TUMPAT - Cubaan sepasang suami isteri dipercayai pengedar dadah melarikan diri ketika serbuan polis gagal apabila berjaya ditahan di sebuah rumah di Taman Baiduri di sini pada Sabtu.

Suspek berusia 41 dan 39 tahun itu ditahan pada jam 1.30 pagi dan hasil serbuan polis menemui pelbagai jenis dadah bernilai RM14,330.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, bertindak atas maklumat dadah, sepasukan pegawai bersama anggota Narkotik Tumpat dan Balai Tumpat membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Baiduri di sini.

Menurutnya, semasa serbuan seorang lelaki dan seorang wanita berada di ruang tamu dalam keadaan mencurigakan.

"Mereka enggan memberi kerjasama dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan setelah berlaku pergelutan.

“Hasil pemeriksaan menjumpai 13 biji pil kuda, 29 gram (g) heroin dan 14g ganja yang keseluruhan bernilai RM14,330,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Ahad.

Beliau berkata, polis juga membuat sitaan wang tunai berjumlah RM9,837, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah motosikal jenis Honda Vario 150.

“Turut dirampas ialah dua gelang tangan dan dua bentuk cincin keemasan dan perak serta sebentuk cincin warna keemasan.

Artikel Berkaitan:

“Hasil ujian urin suspek lelaki dapati positif dadah jenis opiate dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes narkotik, manakala wanita tersebut negatif dadah,” katanya.

Menurut beliau, mereka ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B, 12(2), 6 dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.