Tiada peningkatan kes keganasan rumah tangga di NS: Exco

Nicole (barisan kedua, 10 dari kiri) bersama sebahagian peserta program berkenaan pada Sabtu.
Nicole (barisan kedua, 10 dari kiri) bersama sebahagian peserta program berkenaan pada Sabtu.
A
A
A

SEREMBAN - Tiada peningkatan kes keganasan rumah tangga yang ketara di Negeri Sembilan setakat ini berbanding ketika tempoh dua tahun negara berdepan pandemik Covid-19.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan berlaku peningkatan kes daripada tahun 2018 hingga 2021 di negeri ini.

"Sebanyak 169 kes direkodkan pada tahun 2018, tahun 2019 (197 kes), tahun 2020 (205 kes) dan pada tahun lepas pula 198 kes, bagaimanapun sehingga Oktober tahun ini hanya 136 kes direkodkan.

"Nampaknya tiada peningkatan yang mendadak cuma semasa Covid-19 (tahun 2020) meningkat sedikit tetapi tidak banyak iaitu lapan kes kemudian menurun sebanyak tujuh kes pada tahun lepas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Program 'Hey Ladies, U Hebat' sempena Hari Antarabangsa untuk Penghapusan Keganasan terhadap Wanita di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chi Hwa pada Sabtu.

Nicole bagaimanapun berpendapat, statistik berkenaan bukan satu gambaran atau bilangan sebenar kes berkaitan keganasan rumah tangga berikutan yakin masih ada mangsa terlibat enggan membuat laporan polis.

Mungkin ada stigma negatif yang membelenggu mereka seperti mendakwa laporan yang dibuat tiada tindakan lanjut daripada pihak berkuasa sehingga mendorong mereka hidup dalam ketakutan dan trauma sepanjang masa," jelasnya.

Dalam pada itu, Nicole berkata, keganasan terhadap wanita perlu ditangani secara serius antaranya dengan memperkasakan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Pihak kerajaan Persekutuan perlu memberikan bajet untuk memperkasakan D11 antaranya mewujudkan perjawatan yang baharu dan membekalkan kenderaan secukupnya kepada pegawai polis terlibat.

"Ia bagi mengelakkan stigma bahawa kes keganasan yang dilaporkan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan sekali gus menyebabkan mangsa takut dan trauma untuk membuat laporan," katanya.