Hayati prinsip kelima Rukun Negara ketika berkomunikasi

Sultan Sharafuddin (kiri) berkenan menyampaikan Ijazah Doktor Falsafalah (PhD) Bahasa Melayu kepada Arul Das Arumugam yang merupakan OKU pada Istiadat Pembukaan Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-46 sidang dua di UPM. - Foto Bernama
Sultan Sharafuddin (kiri) berkenan menyampaikan Ijazah Doktor Falsafalah (PhD) Bahasa Melayu kepada Arul Das Arumugam yang merupakan OKU pada Istiadat Pembukaan Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-46 sidang dua di UPM. - Foto Bernama
A
A
A

SERDANG - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar para graduan terus menghayati prinsip kelima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan ketika berkomunikasi dalam media sosial.

Baginda turut mengingatkan graduan supaya tidak memberi komen keterlaluan dan mengeluarkan ayat-ayat berunsur fitnah, cacian serta hasad dengki.

"Ini kerana jika berlaku, ia boleh merosakkan pemikiran masyarakat khususnya generasi muda,” titah Sultan Sharafuddin pada Istiadat Pembukaan Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-46 sidang dua di sini pada Sabtu.

Sultan Sharafuddin yang juga Tuanku Canselor UPM dalam titahnya, turut menggesa para graduan dan bakal alumni meneruskan sinergi dengan alma mater UPM sebagai tanda syukur atas pengorbanan yang dicurahkan oleh warga universiti dalam merealisasikan kejayaan mereka.

"Selain menyumbang kepada pembangunan pelajar, graduan juga boleh membantu universiti dalam apa jua bentuk peranan dan sumbangan demi kecemerlangan UPM yang dicintai.

"Ini sejajar dengan hasrat untuk melibatkan alumni dalam kelangsungan universiti,” titah baginda.

Menzahirkan keyakinan baginda terhadap kualiti pendidikan UPM, Sultan Sharafuddin yakin para graduan telah dibimbing dengan baik oleh pensyarah yang berintegriti melalui sistem akademik bertransformasi.

"Meskipun sebelum ini, para graduan melalui pembelajaran secara dalam talian untuk sebahagian tempoh pengajian, beta percaya ia tidak sedikit pun mengurangkan kualiti mereka untuk menjadi insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi,” titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan ucapan tahniah kepada ibu bapa setiap graduan yang memberi kepercayaan kepada UPM sebagai destinasi pendidikan pilihan anak-anak mereka.

Menyentuh reputasi UPM sebagai kampus hijau yang menjadi antara tarikan utama pelajar antarabangsa, baginda bertitah usaha memperkasakan UPM akan dipergiat melalui pembinaan sistem solar terbesar di universiti awam.

Titah baginda, UPM bakal memiliki sistem solar fotovoltaik (PV) yang mampu menjimatkan RM114 juta bil elektrik universiti itu dalam tempoh 25 tahun.

Baginda bertitah, UPM turut memberi fokus kepada 11 aspirasi antaranya menakhoda pertanian dan pusat rujukan pengembangan, melahirkan pelajar sebagai sosok warganegara yang baik, merealisasikan kampus pintar serta mengekalkan reputasinya sebagai universiti paling lestari.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin berharap aspirasi itu dapat membantu mengukuhkan UPM sebagai menara ilmu yang menggema seruan al-Falah (kejayaan) demi kemakmuran negara serta kesejahteraan masyarakat.

Seramai 6,092 graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada majlis konvokesyen yang bermula hari ini hingga 2 Dis di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM di sini.

Daripada jumlah itu, 520 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana (1,508), Sarjana Muda (3,705) dan Diploma (359). - Bernama