'Jangan bawa bendera parti politik masuk stadium'

Zam Halim
Zam Halim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bendera parti politik antara barangan tidak dibenarkan dibawa masuk penyokong bola sepak yang menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin berkata, penyokong juga diingatkan agar sentiasa mengutamakan keharmonian dan tidak melakukan perkara yang boleh mencetuskan ketegangan.

"Bendera mana-mana parti politik tidak dibenarkan untuk dibawa masuk dalam stadium, kita mahukan keharmonian ketika menyaksikan perlawanan bola sepak ini.

"Apa sahaja situasi politik, kita mahukan ia tidak terbawa-bawa ke dalam sukan bola sepak, sukan ini menyatukan semua pihak," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Katanya, seramai 1,400 anggota dan pegawai polis akan bertugas bagi memastikan keselamatan penonton di SNBJ di sini.

"Pihak polis akan melakukan pemeriksaan rapi di semua pintu masuk ke stadium meliputi pemeriksaan tubuh badan pada hari perlawanan.

"Penyokong diingatkan agar sentiasa menjaga tata susila dan mematuhi setiap arahan serta peraturan yang ditetapkan," katanya.

Selain bendera parti politik, barangan larangan termasuk mercun, bunga api, suar, topi keledar, laser pen, objek tajam, senjata, payung, tongkat, 'powerbank', botol air, pemetik api, mancis, rokok, dan rokok elektronik atau 'vape'.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, seramai 80,000 penonton dijangka membanjiri SNBJ bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC di sini.