Dituduh ada hubungan sulit, warga emas maut ditikam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KAJANG - Gara-gara didakwa mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang, seorang lelaki warga emas maut ditikam berhampiran sebuah pasar raya di Bandar Tun Hussien Onn di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 6.29 petang berkaitan mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian badan dan paha akibat ditikam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dan rawatan awal di Hospital Serdang mendapati mangsa mengalami kecederaan serius akibat tikaman mengenai paru-paru kanan dan kesan tikaman benda tajam di paha dan bahu kanan.

"Mangsa kemudiannya ditempatkan di Wad Kecemasan Zon Merah dan menggunakan alat bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.05 pagi," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Zaid berkata, hasil maklumat diterima kemudian membawa kepada tangkapan melibatkan sepasang suami isteri di sekitar kawasan Hospital Serdang dan Kuala Lumpur pada Sabtu.

"Kedua-dua suspek berumur 51 dan 45 tahun itu diberkas sepasukan anggota polis dari Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang kira-kira jam 1.35 pagi.

"Tangkapan dijalankan bagi membantu siasatan berkaitan kejadian," katanya.

Beliau berkata, suspek seorang lelaki mengaku mencederakan mangsa semasa berada di kawasan parkir kenderaan sebuah pasar raya di Bandar Tun Hussien Onn.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan mendapati punca kejadian kerana suspek marah akan hubungan intim antara isterinya dengan mangsa, di mana masa kejadian isterinya sedang berdua bersama mangsa di dalam kenderaan di lokasi kejadian.

"Beberapa barangan turut dirampas polis termasuk kenderaan milik mangsa, empat telefon bimbit, pakaian suspek dan resit pembelian senjata pisau bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek yang diberkas telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.