‘Muhyiddin tekad teruskan perjuangan’

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bertekad meneruskan perjuangan pimpinan demi dasar kedaulatan agama, bangsa dan negara.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ujian dan cabaran yang dihadapi oleh PN sehingga kini tidak akan membuatkan mereka patah semangat dan berhenti.

“Ingat lah bahawa obor perjuangan tetap terus menyala. Kuatkan semangat dan tabahkan hati.

“Jika kita sabar dan berpegang teguh kepada amanah bangsa serta ikhlas dalam berjuang, insya-ALLAH akan sentiasa ada sinar di hujung jalan.

“Pujuklah hati, bahawa hari esok masih ada. Kita bina Malaysia yang lebih baik dengan setiap kudrat yang ada, dalam apa jua kapasiti kita sekalipun,” katanya dalam siaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor mengalu-alukan penyertaan PN dan parti lain untuk menyertai kerajaan perpaduan pimpinannya.

Pada Jumaat, Muhyiddin memaklumkan bahawa PN bersedia merintis bentuk kerjasama lain dengan kerajaan pimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu bagi memastikan kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat terjamin.

Namun, beliau menegaskan, kerjasama tersebut berbentuk hubungan antara kerajaan dan pembangkang.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Muhyiddin mengakui keputusan Pilihan Raya Umum-ke15 (PRU15) itu turut memberi kesan kepada beliau.

“Terngiang-ngiang laungan sokongan daripada anda semua ketika berkempen, dan komen-komen sokongan saudara saudari rakyat yang saya kasihi di media sosial.

“Bersama dengan saya adanya saudara saudari yang kekal berdiri. Memapah saya agar terus berjalan dan berlari di landasan perjuangan ini.

“Perjuangan murni yang didasari tekad menyelamatkan negara. Perjuangan demi kedaulatan agama, bangsa dan negara kita,” ujarnya.