Sudah tiba masa PH tunai janji satu demi satu

Tong Keong
Tong Keong
A
A
A

SHAH ALAM - Setelah Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, kini sudah tiba masanya untuk gabungan parti itu menunaikan segala janji mereka satu demi satu.

Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong berkata, Anwar dan PH membuat banyak janji sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, keutamaan Perdana Menteri adalah untuk meningkatkan ekonomi secepat mungkin, meletakkan pembangunan negara di landasan yang betul dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Kini, apa yang dimahukan oleh rakyat seluruh negara ialah selepas Anwar menjadi Perdana Menteri, semua manifesto PH pada PRU ini dapat dilaksanakan satu persatu, sekali gus memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

“Kita sanggup memberi masa yang cukup kepada Perdana Menteri baharu untuk menunaikan janji yang dibuat oleh beliau dan PH kepada rakyat.

“Antaranya pemansuhan tol di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan kebangkitan semula pembangunan ekonomi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tong Keong berkata, beliau menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Ujarnya, ia sekali gus menamatkan situasi Parlimen tergantung selepas PRU15 yang turut memberi kelegaan kepada rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Beliau dalam masa sama turut berharap agar Ahli Parlimen Tambun itu tetap terus menyumbang pada pembangunan di negeri Pulau Pinang bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Walaupun Anwar kini menjadi Ahli Parlimen kawasan Tambun di Perak, tetapi kerana hubungan yang mendalam antara Anwar dan keluarganya dengan Pulau Pinang, Parti Gerakan Pulau Pinang mengharapkan beliau menjadi Perdana Menteri yang juga boleh menyumbang kepada pembangunan negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.