Jumlah perkahwinan dalam negara meningkat 15.4 peratus

Jumlah perkahwinan di negara ini menunjukkan peningkatan sebanyak 15.4 peratus iaitu daripada 186,297 perkahwinan pada 2020 kepada 214,943 pada 2021. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
Jumlah perkahwinan di negara ini menunjukkan peningkatan sebanyak 15.4 peratus iaitu daripada 186,297 perkahwinan pada 2020 kepada 214,943 pada 2021. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

PUTRAJAYA - Jumlah perkahwinan di negara ini menunjukkan peningkatan sebanyak 15.4 peratus iaitu daripada 186,297 perkahwinan pada 2020 kepada 214,943 pada 2021.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, tiga negeri yang mencatatkan perkahwinan dalam kalangan orang Islam ialah di Kelantan (61.3 peratus) diikuti Labuan (56.0 peratus) dan Putrajaya (37.3 peratus) manakala perkahwinan dalam kalangan bukan Islam menurun 4.7 peratus dari 40,854 pada 2020 kepada 38,941 pada 2021.

Menurutnya, berdasarkan Stastistik Perkahwinanan dan Perceraian Malaysia 2022 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, kes perceraian di negara ini menurun 7.1 peratus daripada 47,242 kes pada 2020 kepada 43,934 tahun lepas.

Mohd Uzir berkata, penurunan itu, mungkin disebabkan oleh penutupan mahkamah syariah, mahkamah sivil dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac 2020 hingga ke 21 November 2021, dan jumlah kes terhad yang boleh dikendalikan mahkamah berikutan prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Tiga negeri yang mencatatkan penurunan paling tinggi bagi kes perceraian orang Islam ialah di Sarawak, diikuti Perlis dan Pulau Pinang.

"Bagaimanapun bagi orang bukan Islam, kes perceraian meningkat 30.4 peratus dari 9,419 pada 2020 kepada 12,284 tahun lepas. Selangor, Kedah dan Kuala Lumpur merupakan tiga negeri mencatatkan kadar perceraian bukan Islam tertinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, hampir lapan peratus jumlah perkahwinan pada 2021 merupakan perkahwinan campuran iaitu satu peningkatan 11.7 peratus daripada 14,448 perkahwinan dari 2020 ke 16,142 tahun lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: