Pas akan bincang tawaran PM sertai kerajaan perpaduan

Takiyuddin Hassan: - Foto Bernama
Takiyuddin Hassan: - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pas akan mengadakan pertemuan bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN) dalam waktu terdekat bagi membincangkan tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai kerajaan perpaduan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu juga akan meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya pengundi sebelum memuktamatkan sebarang keputusan.

"Pas menjunjung kasih dan mengucapkan tahniah kehadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan melaksanakan fungsi Baginda berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang khususnya dalam soal perlantikan Perdana Menteri.

"Mengenai tawaran Perdana Menteri kepada PN untuk menyertai kerajaan perpaduan pimpinannya, Pas mengucapkan terima kasih seterusnya dalam waktu terdekat akan membincangkan perkara ini dengan rakan-rakan komponen dalam PN.

"Di samping itu turut sama meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya para pengundi yang telah memberikan undi yang amat memberangsangkan kepada Pas dan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan, Anwar mengalu-alukan penyertaan PN dan parti lain untuk menyertai kerajaan perpaduan selain bersedia menerima penyertaan mereka bagi menyatukan negara.

Dalam pada itu Takiyuddin berkata, Pas turut mengucapkan tahniah kepada Anwar yang telah diperkenan dan dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada Khamis.

"Pas yakin beliau (Anwar) akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ehsan serta turut mengutamakan konsep federalisma yang wajar kepada seluruh negeri-negeri dan rakyat jelata," ujarnya.

Artikel Berkaitan:


Tidak akan khianati undi rakyat: Ahmad Marzuk

Exco Dewan Pemuda Pas, Datuk Ahmad Marzuk Shaary menegaskan, parti itu tidak akan sesekali mengkhianati kepercayaan dan undi rakyat.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, Pas juga akan sentiasa memegang prinsip adil, bersih dan berintegriti.

"Terima kasih rakyat Malaysia, kami memilih bersama anda. Kekal berprinsip, adil, bersih dan berintegriti, tidak akan mengkhianati undi rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Kenyataan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu susulan ketegasan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memaklumkan gabungan berkenaan kekal berpendirian tidak menyertai kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen serta memastikan tadbir urus kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah selaras prinsip prihatin, bersih dan stabil.