Kerja alternatif tangani cabaran kerjaya

Syed Zainal Abidin
Syed Zainal Abidin
A
A
A

SHAH ALAM - Masyarakat hari ini perlu menggunakan pelbagai alternatif untuk mencari sumber rezeki dalam bidang kerjaya dan perniagaan demi kelangsungan hidup akibat kesan pandemik Covid-19, bencana alam, ekonomi dan politik yang tidak menentu.

Pengarah Urusan Kumpulan Dagang NeXchange Berhad, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir memberi pandangan mengenai isu cabaran kerjaya ketika dihubungi melalui Google Meet baru-baru ini.

“Dunia kerjaya masuk ke pejabat kini sudah berubah. Hari ini ekonomi gig menjadi trend sistem pasaran bebas untuk bekerja. Fenomena ramai anak muda berniaga dari rumah kini menjadi trend baharu di seluruh dunia.

“Mereka aktif dalam media sosial seperti Facebook dan TikTok yang boleh mendatang pendapatan lumayan. Penggunaan digital membuka ruang baharu sebagai pendekatan kaedah yang berbeza. Dalam ekonomi gig, kita memerlukan kemahiran dalam bidang pengkomputeran dan digital,' ujarmya.

Tambahnya, pandemik Covid-19 memberi kesan agak ketara dari segi ekonomi negara.

"Kita lihat banyak syarikat terpaksa bungkus tikar dan mengurangkan tenaga kerja apabila permintaan pasaran yang menurun. Ini menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan.

“Meskipun wabak tersebut berakhir namun peningkatan ekonomi mengambil masa yang panjang, melainkan sektor pengilangan pembuatan. Sebenarnya jumlah pengangguran masih tinggi. Antara impak paling besar adalah sektor peruncitan. Ini kerana kuasa membeli masih kurang disebabkan rakyat masih berjimat cermat.

“Kini ramai orang berniaga dari rumah seperti memasak dan pembuatan makanan. Sektor penghantaran makanan turut meningkat. Setiap orang perlu menyesuaikan diri dalam mencari peluang yang berbeza. Contoh, sektor peruncitan tradisional boleh dikembangkan kepada platform digital," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Syed Zainal Abidin turut menasihatkan golongan yang terkesan akibat penularan Covid-19 agar tidak berasa hampa atau putus asa.

Sebaliknya perlu berikhtiar untuk mencari peluang yang berbeza dan perlu berkolaborasi dengan orang lain dalam industri berbeza.

"Ada sesetengah orang tidak mahu berusaha untuk mencari sumber rezeki dengan pelbagai alternatif. Jangan fikir rezeki yang glamor di syarikat besar dan hendak cepat kaya. Ketepikan rasa ego dan tamak. ALLAH menentukan rezeki ada di mana-mana. Apa yang penting kita perlu berusaha sedaya upaya untuk mencari rezeki yang halal.

“Kita sebagai khalifah diberi banyak kebolehan, pengetahuan, tenaga dan rezeki oleh ALLAH SWT. Kita perlu mencari rezeki yang halal, buat perniagaan yang betul, ikhlas, tidak menipu dan tidak tamak," katanya.

Tambahnya, tidak dinafikan bukan semua orang boleh menguruskan psikologi dengan baik.

“Cara mengawal emosi ialah dengan memperbanyakkan doa kepada ALLAH SWT, kembali kepada agama dan memperbaiki kesilapan diri adalah pendekatan terbaik untuk merawat jiwa dan hati jadi lebih tenang.

“Pada masa sama, kita perlu menjaga hubungan baik dengan ALLAH, dan manusia terutamanya keluarga. Perlu ada kesabaran dan ketekunan. Jangan putus asa dengan ALLAH. Sebaliknya, kita perlu berikhtiar untuk memperbaiki kesilapan dan kelemahan diri.

“Untuk berjaya, saya berpendapat kita perlu bekerja kuat, bersungguh-sungguh dan membuat terbaik dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab. Kita juga perlu ikhlas dalam membantu syarikat agar mendapat keberkatan ALLAH SWT,” katanya.

Syed Zainal merupakan antara lima penceramah jemputan pada World #QuranConvention 3.0 bertajuk “Coping With Challenges: Solutions form Surah Al-Sajdah” di Dewan Perdana MITI, Kuala Lumpur, 3 Disember ini.

Penceramah lain ialah Penasihat Global Shariah, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar; Pengasas Bayyinah, Insitute for Arabic & Qur’anic Studies, Ustadh Nouman Ali Khan; Pendakwah dari Bangladesh, Shaykh Mizanur Rahman Azhari; Tokoh Huffaz Nusantara, Dr Ahsin Sakho Muhammad Asyrofuddin; dan Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail.

Orang ramai yang ingin menyertai World #QuranConvention 3.0 dikenakan bayaran RM50 bagi penyertaan dengan mendaftar di https://bit.ly/WQC2022.