42 pengerusi JPKK, JKKR Bentong mahu gabungan BN-PH di Pahang

Mat Rozi
Mat Rozi
A
A
A

KUANTAN - Seramai 42 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Bentong menyokong sebulat suara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung bagi membentuk kerajaan negeri.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersama, Pengerusi JPKK Mempaga 2, Mat Rozi Omar berkata, gabungan antara dua parti itu dapat menyelesaikan isu kerajaan tergantung susulan tiada parti mendapat majoriti mudah selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau bagaimanapun menyarankan agar Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dikekalkan sebagai Menteri Besar.

Kami yakin Wan Rosdy mampu untuk terus mentadbir negeri ini seterusnya membawa kestabilan dan kemakmuran menerusi kerajaan gabungan BN-PH.

"Malah, beliau juga mampu membawa negeri ini ke arah yang lebih baik hasil gabungan BN-PH, sekali gus dapat membela kebajikan rakyat secara keseluruhannya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mat Rozi menjelaskan sokongan itu bersandarkan kepada komitmen dan kejayaan Wan Rosdy memajukan ekonomi negeri sehingga setanding dengan Johor dan Selangor dari segi kutipan hasil.

"Kami berpandangan, Wan Rosdy tidak wajar dipersalahkan kerana tsunami yang berlaku bukan hanya di Pahang malah seluruh negara.

"Dalam konteks pasca PRU15 ketika ini, tumpuan utama harus diberikan kepada mewujudkan kerajaan negeri yang stabil dan usaha membela kebajikan rakyat di negeri ini," jelas beliau lagi.

Artikel Berkaitan:

Pahang mempunyai 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan daripada jumlah itu PN beroleh 17 kerusi, BN (16) dan PH (8).