Hentikan isu sentimen perkauman di Sarawak

Fazzrudin
Fazzrudin
A
A
A
KUCHING - Pihak yang memainkan isu perkauman di Sarawak demi kepentingan politik digesa agar menghentikan tindakan itu serta-merta.

Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, sentimen tersebut perlu dihentikan kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan rakyat Sarawak.

"Kita dapat melihat di Sarawak menerusi media sosial dan di lapangan, ada beberapa pihak yang cuba menjadi batu api memainkan sentimen perkauman dan menggunakan ia sebagai modal politik.

"Tindakan ini amat berbahaya sekali dan kita (rakyat Sarawak) sepatutnya harus bersama-sama memelihara perpaduan yang ada di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Khamis.

Tegasnya, semua pihak perlu berusaha untuk memastikan agar keharmonian di negeri ini sentiasa dipelihara.

"Tindakan yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dalam mengapi-apikan sentimen ini boleh menimbulkan lebih banyak perkara yang tidak diingini berlaku.



“Oleh itu, saya menyeru sekali lagi agar pihak-pihak ini berhenti mainkan isu sedemikian demi masa depan anak-anak kita,” jelasnya.

Ketika ditanya berhubung sama ada Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dapat mengenal pasti individu terbabit, Fazzrudin berkata, ia sangat jelas diketahui.

Namun katanya, ia perlu selesaikan perkara ini secara bersama bagi memastikan keharmonian kaum dan agama di Sarawak terus terpelihara.
Artikel Berkaitan:


Baru-baru ini, lebih 26,000 pengguna media sosial di Sarawak telah menandatangani petisyen menggesa Ahli Parlimen (MP) Sarawak penganut agama Kristian menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) atau parti komponennya, Pas.

Petisyen yang dilancarkan Parti Sarawak Bersatu (PSB) itu telah dimulakan pada Selasa, 22 November melalui lawan sesawang change.org dan kini mensasarkan sehingga 35,000 tandatangan.

Kandungan petisyen tersebut memperincikan gesaan terhadap 13 MP Sarawak yang beragama Kristian sebagai bukti sokongan kepada pendirian negeri itu sebagai model keharmonian pelbagai kaum dan agama.