Calon PH Padang Serai akui wujud kekecohan, tidak puas hati

Mohamad Sofee
Mohamad Sofee
A
A
A

KULIM - Ketidakpuasan hati akar umbi terhadap calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai tidak akan menjejaskan undi bagi gabungan itu.

Calon PH Parlimen Padang Serai, Dr Mohamad Sofee Razak menjelaskan, parti sendiri iaitu PKR meraikan perbezaan pendapat yang timbul selepas namanya dicalonkan, namun mengharapkan agar setiap ahli akur dengan keputusan Majlis Presiden PH.

Setiausaha PH Kedah dan Setiausaha PKR Kedah itu berkata, beliau sendiri akan berusaha menangani perkara tersebut dengan segera.

"Saya difahamkan ada (kekecohan) sehingga keluar portal berita tetapi keputusan sudah ditetapkan Majlis Presiden PH, saya yakin dan percaya perkara ini insya-ALLAH tidak akan jejas kempen dan undi terhadap PH," katanya kepada media.

Beliau ditemui selepas selesai proses penamaan calon Parlimen Padang Serai yang berlangsung pada Khamis.

Proses pengundian bagi Parlimen Padang Serai diadakan semula berikutan kematian calon, M Karupaiya (PKR) yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 16 November iaitu tiga hari sebelum hari pengundian PRU15.

Mendiang Karupaiya yang juga penyandang kerusi Parlimen Padang Serai menang pada PRU14 dengan majoriti 8,813 undi mengalahkan Dr Leong Yong Kong (MCA) dan Muhammad Sobri Osman (Pas).

Ketika ditanya kebimbangan sekiranya terdapat jentera yang enggan membantu kempennya berikutan isu itu, Mohamad Sofee yakin perkara itu tidak terjadi.

Artikel Berkaitan:

“Saya yakin jentera atau akar umbi akan tolong, mungkin sebahagian kecil yang tak puas hati atau kecewa. Tapi setakat ini kita sudah mula mengusahakan untuk mendamaikan dan menjelaskan perkara yang sepatutnya

“Mungkin kita anggap perkara ini kecil tapi ia akan mengganggu kempen, namun saya yakin dan percaya jentera yang ada akan pastikan semua berjalan lancar,” katanya.

Sebelum inisebuah portal berita menyiarkan khabar angin bahawa PH bakal menukar calon yang diumumkan berikutan kekecohan akibat ketidakpuasan hati ahli parti.