Henti main isu perkauman di media sosial: Tian Soon

Tian Soon
Tian Soon
A
A
A

JOHOR BAHRU - Rakyat digesa tidak memainkan isu berbaur perkauman dan menghina agama di media sosial terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 ( PRU15).

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, perbuatan tersebut perlu dihentikan sebelum melarat dan menjadi punca kepada perpecahan masyarakat berbilang kaum.

"PRU15 diadakan adalah bagi memulangkan mandat dan hak memilih kepada rakyat. Tetapi selepas tirai PRU15 dilabuhkan kecoh di media sosial berkenaan isu-isu berbaur perkauman dan menghina agama.

"Saya merasakan perkara ini perlulah dihentikan sebelum melarat dan menjadi punca kepada perpecahan. Sepatutnya pilihan raya ini diadakan bagi meraikan demokrasi dan mencapai kestabilan di negara," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng dan Ketua Pemuda MCA Johor, meminta agar rakyat Malaysia serta ahli politik terus mengamalkan nilai kesederhanaan dengan meraikan kepelbagaian dan kemajmukan penduduk.

Selain itu, syarikat-syarikat yang menyelaras media sosial diminta agar memantau isi kandungan muat naik atau 'posting' yang mengandungu isu-isu berbaur hasutan dan perkauman.

"Saya juga memohon agar semua pengguna media sosial untuk melaporkan mana-mana 'posting' yang berbaur perkauman. Sama-sama kita membantu pihak berkuasa untuk membanteras isu ini.

"Saya berharap semua bertenang dan menghormati nilai demokrasi dan Perlembagaan. Nilai Bangsa Johor yang bersatu padu serta saling menghormati tanpa kira agama dan bangsa.

Artikel Berkaitan:

" Oleh itu, saya meminta kepada semua, ayuhlah kita teruskan agenda kebersamaan dan pastikan negara tercinta kita harmoni serta aman damai," katanya.