PNB lancar ASN Sukuk sempena MSAM 2O22

Arifin (kiri) melancarkan Minggu Amanah saham Malaysia 2022.
Arifin (kiri) melancarkan Minggu Amanah saham Malaysia 2022.
A
A
A

PORT DICKSON - Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) memperkenalkan dana ASN Sukuk yang akan ditawarkan pada Jumaat.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria berkata, dana harga berubah baharu itu memfokuskan kepada pelaburan dalam pelbagai portfolio Sukuk (instrumen pendapatan Islam) dengan 80 hingga 99 peratus daripada Nilai Aset Bersih dana tertumpu kepada aset kelas tersebut termasuk Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII).

"ASN Sukuk mensasarkan pelabur dengan tahap toleransi risiko konservatif yang cenderung kepada pendapatan stabil dalam jangka masa sederhana hingga panjang.

"Saya berharap rangkaian ejen kami akan dapat bersama-sama giat mempromosi seterusnya memberikan sokongan padu dalam aktiviti pemasaran ASN Sukuk kelak," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Minggu Saham Amanah Malaysia 2022 (MSAM 2022) di kawasan lapang Pantai Batu 1 di sini, pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Muzzaffar Othman berkata, langkah memperkenalkan dana ASN Sukuk pertama itu sejajar dengan usaha kumpulan PNB dalam memperluaskan rangkaian penawaran produknya bagi memenuhi keperluan pelabur Malaysia..

Ujarnya, pelaburan baharu itu terbaik buat mereka yang tidak mahu mengambil risiko dan ingin memperoleh pendapatan mampan dalam jangka sederhana hingga jangka panjang.

Dengan keadaan persekitaran pasaran yang mencabar, pelancaran ASN Sukuk adalah satu lagi usaha ASNB dalam membina portfolio pelaburan berdaya tahan dan meneroka peluang yang ada.

"ASN Sukuk membolehkan pemegang unit kami melengkapkan dan mempelbagaikan portfolio pelaburan sedia ada mereka dalam ASNB untuk membina portfolio yang lebih seimbang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Arifin (tengah) melawat kiosk Maybank selepas majlis perasmian.
Arifin (tengah) melawat kiosk Maybank selepas majlis perasmian.

Selain itu katanya, dalam suasana pasaran global yang dijangka kekal tidak menentu pada tahun 2023, aset pendapatan tetap adalah satu tawaran nilai menarik untuk pelabur mencari portfolio keseluruhan yang stabil.

Jelasnya, dana baharu itu mempunyai beberapa ciri dana unit amanah ASNB sedia ada yang akan menarik pelabur untuk memiliki portfolio pelaburan sukuk termasuk pelaburan minimum RM10 dengan pelaburan tambahan serendah RM1.

"Jadi mulai 25 November ini, pelabur boleh melanggan ASN Sukuk secara dalam talian di portal dan aplikasi mudah alih myASNB, perbankan internet ejen ASNB atau melalui perkhidmatan kaunter di semua cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara.

"Dalam tempoh 21 hari sehingga 15 Disember ini orang ramai boleh menikmati tawaran harga permulaan dana RM1 seunit," katanya.

Malah katanya, sempena pelancaran dana tersebut, pelabur juga boleh menikmati caj jualan yang lebih rendah iaitu sebanyak satu peratus untuk sebarang jumlah pelaburan yang dibuat melalui perkhidmatan kaunter di cawangan dan ejen ASNB seluruh negara sehingga 31 Mac 2023.

"Kempen khas turut ditawarkan sepanjang Minggu Saham Amanah Malaysia 2022 (24 hingga 30 November 2022) iaitu tiada caj jualan untuk pelaburan RM1,000 dan ke atas untuk semua dana harga berubah ASNB, termasuk ASN Sukuk," katanya.