DAP mohon maaf kepada Abang Jo, rakyat Sarawak

Anthony
Anthony
A
A
A

SHAH ALAM - DAP membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg jika terdapat sebarang kenyataan oleh pemimpin parti itu yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat negeri berkenaan.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan permohonan itu dibuat ketika mengadakan pertemuan bersama Abang Johari di kediamannya di Kuching, pagi Khamis.

"Kami telah mengadakan perbincangan secara mesra. Saya telah memaklumkan kepada YAB Premier bahawa sekiranya terdapat apa-apa kenyataan yang pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin DAP yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak, saya mewakili pihak DAP untuk memohon maaf secara terbuka," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Khamis.

Dalam pada itu, Anthony turut berharap pertemuan berkenaan dapat membuka satu lembaran baharu untuk membina persefahaman dan kerjasama demi negara Malaysia yang lebih maju dan progresif.

Pada Rabu lalu, media melaporkan Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen menyatakan mustahil untuk mengharapkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Abang Johari bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, parti komponen GPS pernah menganggotai Barisan Nasional (BN) hingga 2018 dan menegaskan bahawa mengundi untuk GPS bersamaan memberi undi kepada UMNO.

“Jika itu bukan yang kita mahu, maka kita harus elak semua kemungkinan mengembalikan kuasa kepada UMNO. Kita tidak boleh undi GPS," ujarnya.

Artikel Berkaitan: