Lebih 50 petugas media berkumpul di WTC

Petugas media berkumpul di Menara Dato' Onn, WTC Kuala Lumpur pada Khamis untuk liputan Mesyuarat Khas Dewan Tertinggi BN.
Petugas media berkumpul di Menara Dato' Onn, WTC Kuala Lumpur pada Khamis untuk liputan Mesyuarat Khas Dewan Tertinggi BN.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Lebih 50 petugas media berkumpul di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini bagi liputan Mesyuarat Khas Dewan Tertinggi BN yang dilaporkan akan berlangsung pada Khamis.

Ada antara pengamal media tiba seawal jam 7.30 pagi untuk melaporkan pergerakan pemimpin BN.

Namun, sehingga jam 10 pagi tiada kelibat pemimpin BN yang tiba bagi menghadiri mesyuarat berkenaan.

Sinar Harian difahamkan mesyuarat tersebut kemungkinan diadakan pada jam 3 petang manakala pada sebelah pagi akan diadakan himpunan aman solidariti terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mesyuarat Khas Dewan Tertinggi BN itu menjadi tumpuan ramai selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara memutuskan BN menyokong dan mengambil bahagian dalam pembentukan kerajaan perpaduan yang bukan diterajui Perikatan Nasional (PN).

Secara tidak langsung, ia bermaksud UMNO memilih menyokong Perdana Menteri dari Pakatan Harapan (PH) iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ketetapan itu dibuat MKT UMNO pada mesyuarat khas yang dipengerusikan Ahmad Zahid pada malam Rabu.

Menurutnya, MKT UMNO membuat keputusan itu bagi menyokong dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengesyorkan BN berbuat demikian.

"MKT juga bersetuju semua wakil-wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mematuhi dan menerima sebarang bentuk kerajaan perpaduan dan lain-lain bentuk kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun timbul tanda tanya sama ada parti komponen BN akan menyokong keputusan terbabit atau tidak.

Ia berikutan MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) pada Rabu mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Zahid serta meminta beliau meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BN.

Usul berkenaan dikemukakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Oleh itu, keputusan muktamad Dewan Tertinggi BN nanti bakal meleraikan kebuntuan dalam pelantikan Perdana Menteri ke-10 dan pembentukan kerajaan baharu pasca PRU15.

PRU15 pada Sabtu lalu menyaksikan Parlimen tergantung apabila tiada gabungan parti memiliki majoriti mudah iaitu sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan.

BN yang memperoleh 30 kerusi Parlimen dianggap menjadi 'king maker' atau penentu kepada penubuhan kerajaan baharu tersebut.

PH dan PN yang masing-masing memenangi 82 dan 73 sebelum ini turut melakukan beberapa pertemuan dengan pemimpin BN bagi mencapai persetujuan untuk pembentukan kerajaan.