'Kalau betul Streram kempen, tolong lapor polis'

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun meninjau proses membuang undi di Sekolah Kebangsaan Nyatoh Rantau, hari ini. - Foto Adam Amir Hamzah
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun meninjau proses membuang undi di Sekolah Kebangsaan Nyatoh Rantau, hari ini. - Foto Adam Amir Hamzah
A
A
A

SEREMBAN - Tindakan calon PH, Dr S Streram merayu undi pada sidang media di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rantau pagi tadi merupakan satu kesalahan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, ini kerana tiada sebarang aktiviti berkempen dibenarkan pada hari pengundian.

Sehubungan itu, katanya, mana-mana pihak yang melihat kejadian itu diminta membuat laporan polis.

"Kalau betul beliau berkempen, ia memang merupakan satu kesalahan kerana pada hari mengundi tak boleh berkempen.

"Jika ada bukti, video semua saya mohon buat laporan kepada polis," katanya pada sidang media sidang media selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan Nyatoh di sini, hari ini.

Pagi tadi, Streram ketika bercakap kepada pemberita meminta pengundi untuk mengundi PH. "Saya merayu kepada semua untuk undi PH dan juga hari ini adalah hari yang saya tunggu untuk mengambil tempat di DUN Rantau ini," katanya.

Kesilapan calon meraih undi atau berkempen pada hari pengundian bukanlah perkara baharu kerana pernah berlaku pada PRK DUN Semenyih sebelum ini.

Calon PH, Muhammad Aiman Zainali dan calon BN, Zakaria Hanafi pada PRK DUN Semenyih telah meminta pengundi menyokong mereka dan parti mereka secara terbuka.

Artikel Berkaitan: